Anwar Lawat Brunei Sempena Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadual memulakan lawatan kerja rasmi bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan (ALC) Kali ke-25 Brunei bermula hari ini hingga 26 Ogos.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, pertemuan dengan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah sempena rundingan tersebut selepas Malaysia menjadi tuan rumah tahun lalu.

“Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama.

“Rundingan ini merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Brunei,” kata kementerian itu pada Ahad.

Lawatan kali ini adalah yang ketiga Anwar ke Brunei sejak beliau menjawat jawatan selaku Perdana Menteri.

Menurut kenyataan itu, Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan, Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dan Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

“ALC ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan,” kata Wisma Putra.

Pada 2023, Brunei merupakan rakan perdagangan ke-30 terbesar Malaysia dan rakan perdagangan keenam terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (US$2.04 bilion).

Jumlah eksport ke Brunei pada tahun lepas bernilai RM6.4 bilion (US$1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (US$0.64 bilion). Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (US$0.76 bilion).

Dari Januari hingga Mei tahun ini, Malaysia mencatat jumlah dagangan sebanyak RM3.53 bilion (US$0.75 bilion) dengan Brunei.