PETALING JAYA: Bekas Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Zuki Ali dilantik sebagai Pengerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang baharu berkuat kuasa pada 1 September 2024.
Mohd Zuki, menggantikan Tan Sri Ahmad Badri Mohd Zahir yang telah memegang jawatan Pengerusi KWSP sejak 1 Mei 2020.
Lembaga Pengarah KWSP dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Ahmad Badri atas kepimpinan beliau.
“Lembaga pengarah ingin mengalu-alukan dan mengucapkan tahniah kepada Mohd Zuki, yang berpengalaman luas dalam sektor kerajaan dan hala tuju strategiknya akan terus memacu KWSP ke tahap yang lebih tinggi,” tulis kenyataan itu.
Mohd Zuki dilantik sebagai Ketua Setiausaha Negara pada 31 Disember 2019, dan dilantik semula dengan kontrak dua tahun dari 11 Ogos 2022 hingga 10 Ogos 2024.
Beliau bersara pada 9 Ogos selepas tiga dekad dalam perkhidmatan awam