Oleh: Syahirah Harish
PEKERJA di Australia kini diberi hak untuk mengabaikan e-mel dan panggilan yang dibuat oleh syarikat atau majikan mereka selepas waktu bekerja, di bawah undang-undang baharu berkuat kuasa hari ini.
Memetik The Reuters, undang-undang tersebut menegaskan pekerja yang enggan membaca atau membalas mesej daripada majikan atau pihak ketiga seperti pelanggan di luar waktu kerja, tidak boleh dikenakan hukuman.
Ramai menyokong tindakan itu yang dianggap melawan gangguan berterusan dalam kehidupan peribadi mereka.
Tinjauan mendapati ‘trend’ tersebut semakin meningkat sejak pandemik COVID-19 yang mana membolehkan pekerja untuk bekerja tidak kira tempat dan masa.
Dalam pada itu, Profesor bersekutu di Universiti Teknologi Swinburne, John Hopkins berkata, sebelum ini orang ramai akan pulang ke rumah pada penghujung syif dan tidak boleh dihubungi sehingga mereka kembali bekerja pada keesokan harinya.
“Sekarang, sudah menjadi kebiasaan untuk menerima e-mel, SMS, panggilan telefon di luar waktu berkenaan, walaupun ketika bercuti,” katanya.
Secara purata, warga Australia bekerja lebih masa tanpa dibayar gaji sebanyak 281 jam pada tahun 2023.
Jumlah itu berdasarkan tinjauan tahun lalu oleh Institut Australia, yang menganggarkan nilai kewangan buruh adalah pada AUD$130 bilion (RM382 bilion).
Sebanyak 24 negara, kebanyakannya di Eropah dan Amerika Latin mempunyai undang-undang yang sama.
Pada 2017, Pioneer France memperkenalkan peraturan itu dan setahun kemudian mendenda firma kawalan perosak Rentokil Initial, 60,000 Euro (RM 291,000) kerana mewajibkan pekerja sentiasa menghidupkan telefonnya.
Bagaimanapun bagi hal kecemasan dan waktu bekerja yang tidak tetap, peraturan itu masih membenarkan majikan menghubungi pekerja mereka dan hanya boleh menolak sekiranya mempunyai alasan yang munasabah.
Hanya Fair Work Commission (FWC), yang boleh menentukan sama ada penolakan adalah munasabah dengan mengambil kira peranan pekerja, keadaan peribadi dan cara serta sebab panggilan itu dibuat.
Suruhanjaya tersebut mempunyai kuasa untuk mengeluarkan perintah untuk berhenti dan jika gagal, akan dikenakan denda sehingga AUD$19,000 (RM55,000) bagi setiap pekerja atau sehingga AUD$94,000 (RM276,000) untuk syarikat.