Sanusi jangan ‘palatao’, sistem pendidikan tetap terpelihara

Oleh: Kamilia Ali

KEDAH: Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kedah, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, Datuk Seri Muhammad Sanusi sejak kebelakangan ini tidak cermat mengeluarkan kenyataan, termasuk dalam isu pendidikan.

Menurut Taufiq, Menteri Besar Kedah itu bersikap tidak profesional dan tidak bertanggungjawab setelah membangkitkan ketidakpuasan hatinya berkenaan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang menyuntik agenda politik dalam sistem pendidikan negara.

Beliau berkata, pihaknya ingin menegur tindakan Sanusi yang sewenang-wenangnya menfitnah Pengarah Pendidikan Negeri Kedah yang kononnya berkempen politik kepartian dalam sekolah.

“AMK Kedah ingin mengingatkan bahawa tindakan beliau adalah amat bacul dan tidak bertanggungjawab memandangkan orang yang dituduh tidak berada di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk menjawab tohmahan beliau.

“Jika beliau betul-betul anak jantan, jangan cabar Menteri Pendidikan (Fadhlina Sidek) di Sidang DUN, minta sahaja mana-mana Ahli Parlimen PAS letas jawatan dan memberi laluan kepadanya (Sanusi) untuk masuk ke gelanggang Dewan Rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Taufiq yang juga Ahli Parlimen Sungai Petani menggariskan beberapa perkara untuk diteliti oleh semua pihak yang mungkin terlajak akibat hasutan beberapa walaun yang tidak bertanggungjawab.

“Malaysia Madani adalah dasar Kerajaan Persekutuan dan berhak mempromosi dasar tersebut melalui apa jua platform memandangkan dasar tersebut bukan dasar parti.

“Jika beliau ingin rakyat terbuka kepada dasar beliau di negeri, beliau seharusnya menerima dasar Malaysia Madani sebagai dasar Kerajaan Persekutuan.

“AMK mengambil sikap terbuka menghormati dasar ‘The Greater Kedah’ yang dibawa oleh beliau selaku Menteri Besar Negeri Kedah Darul Aman dan demi kemajuan negeri yang kami cintai ini dan keterbukaan ini boleh diterjemah dalam pelbagai kerjasama,” katanya.

Terdahulu, Sanusi melahirkan rasa kecewa apabila Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Kedah tidak dibenar bekerjasama bersama kepimpinan negeri bagi melaksanakan program di sekolah.

Katanya, terdapat larangan dan arahan lisan supaya sekolah tidak berbuat demikian, selain mendakwa individu tertentu dalam JPN menggunakan kedudukan untuk agenda politik.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat