Laporan RCI berkaitan Pulau Batu Puteh akan dibentang di Parlimen

Oleh: Kamilia Ali

KUALA LUMPUR: Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi Mengkaji Pengendalian Perkara Berkaitan dengan kes kedaulatan Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan akan dibentangkan di Parlimen.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perkara tersebut telah diputuskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada Rabu.

“Laporan berkenaan dibentangkan oleh Pengerusi Suruhanjaya itu, Tun Md Raus Sharif yang juga merupakan Ketua Hakim Negara.

“Jemaah Menteri amat prihatin terhadap isu kedaulatan negara dan membuat keputusan supaya Laporan Suruhanjaya ini dibentangkan di Parlimen dan syor-syor yang dikemukakan dibahaskan di Parlimen,” kata Azalina dalam kenyataan pada Khamis.

Sementara itu, pada 12 Ogos lalu, Md Raus telah membentangkan laporan lengkap RCI kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim di Istana Negara.

Pada Februari, menerusi satu kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) memaklumkan Sultan Ibrahim telah memperkenan penubuhan suruhanjaya itu berkuat kuasa serta-merta.

Seterusnya, penubuhan RCI itu dilakukan selaras dengan Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119).

Pada 23 Mei 2008, Singapura mempunyai hak terhadap Batu Puteh dan Batuan Tengah yang terletak tidak sampai satu kilometer dari pulau itu milik Malaysia yang diputuskan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Oleh itu, ICJ memutuskan hak milik Tubir Selatan, kira-kira empat kilometer dari Batu Puteh akan ditentukan mengikut persempadanan perairan negara yang menguasainya.

Anda Mungkin Berminat