Bapa sumbang mahram anak sendiri ditahan

Oleh: Farah Faizal

MELAKA: Polis menahan lelaki yang disyaki melakukan sumbang mahram terhadap dua anak gadisnya di Durian Tunggal, dekat sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Melaka, Senior Asisten Komisioner Datuk Md Nazri Zawawi berkata, pihaknya menerima laporan berhubung perkara itu daripada seorang daripada mangsa yang mendakwa dirinya telah dirogol sejak berusia 14 tahun. Mangsa kini berusia 17 tahun.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 376 (3) kanun keseksaan kerana sumbang mahram yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat maksimum 10 sebatan, jika disabit kesalahan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Semalam, mangsa bertindak membuat laporan polis apabila adik perempuannya yang kini berusia 13 tahun juga turut menjadi mangsa rogol oleh suspek.

Permohonan reman keatas suspek dibenarkan selama tujuh hari bermula 30 Ogos hingga 5 September 2024.