Tarik Balik Penolakan Selaras Silibus BM Di Sekolah Rendah Vernakular

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Tindakan sembilan institusi pendidikan Cina yang sebulat suara menolak inisiatif Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyelaras silibus bahasa Melayu di sekolah rendah vernakular adalah tidak wajar.

Ketua Pemuda AMANAH, Hasbie Muda mengecam sekeras-kerasnya tindakan itu yang disifatkan tidak bertanggungjawab dan mencerminkan sikap bertentangan dengan usaha memperkukuhkan perpaduan nasional melalui bahasa kebangsaan.

“Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan merupakan tunjang perpaduan di negara ini.

“Inisiatif KPM itu penting untuk membina jati diri sebagai rakyat Malaysia yang memahami dan menghormati budaya serta bahasa kebangsaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Tegas beliau, inisiatif KPM untuk menyelaraskan silibus Bahasa Melayu di semua sekolah rendah termasuk sekolah vernakular itu bertujuan memastikan semua pelajar di negara ini mempunyai penguasaan yang baik dalam bahasa Melayu.

Terdahulu, media melaporkan, Pengerusi Jiao Zong, Cheah Lek Aee berkata, penolakan itu kerana bahasa ibunda pelajar sekolah Cina bukan bahasa Melayu.

Katanya, bahasa Melayu merupakan bahasa kedua pelajar terbabit, maka tidak boleh diajar menggunakan silibus sama seperti pelajar Melayu lain.

Lek Aee dipetik berkata demikian oleh China Press ketika hadir mesyuarat dalaman mengenai penyelarasan silibus bahasa Melayu sekolah rendah vernakular di Bangunan Dong Zong, kelmarin.

Sementara itu, Hasbie turut menyifatkan kenyataan Lek Aee yang menyatakan bahawa bahasa Melayu tidak boleh diajar menggunakan silibus yang sama seperti pelajar Melayu lain kerana bukan bahasa ibunda pelajar sekolah Cina sebagai tidak wajar.

Tegasnya, bahasa Melayu adalah bahasa pertama di negara ini dan seharusnya menjadi tanggungjawab seluruh rakyat untuk menguasainya tanpa mengira latar belakang etnik atau bahasa ibunda.

“KPM mengambil langkah tepat dengan memperkenalkan penyelarasan silibus itu bagi memperkasakan penguasaan bahasa Melayu dalam kalangan pelajar sekolah rendah vernakular.

“Langkah ini bukan sahaja penting untuk tujuan akademik tetapi juga untuk memupuk perpaduan nasional dan keharmonian antara kaum di Malaysia,” katanya.

Sehubungan itu, Hasbie menggesa sembilan institusi pendidikan Cina tersebut menarik balik penolakan mereka terhadap inisiatif berkenaan dan memberikan kerjasama penuh kepada KPM demi masa depan generasi muda dan perpaduan negara.

Dalam masa sama, beliau menyeru KPM untuk terus teguh dalam pelaksanaan dasar itu tanpa mengalah kepada tekanan mana-mana pihak.