SAR di Jalan Masjid India dihentikan hari ini – Dr Zaliha

KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warga India yang hilang dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, dihentikan petang ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa mengumumkan perkara itu dalam sidang media di sini, hari ini.

Katanya, perkara itu diputuskan selepas mengkaji semula laporan daripada semua agensi berkaitan operasi SAR, sebelum dibentangkan kepada Jemaah Menteri.

“Keputusan yang diambil ialah untuk mendapat pandangan daripada sudut pakar, sebelum kita mengambil apa-apa keputusan.

“Oleh kerana itu, setelah kita mengumpulkan semua bentuk kepakaran yang ada termasuklah dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), bomba, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur ( DBKL), Indah Water Konsotium (IWK), Jabatan Mineral dan Geosains, Agensi Nuklear Negara dan pelbagai lagi telah diambil pandangan.

“Kita telah membuat keputusan untuk kita memberhenti mencari dan menyelamat pada hari ini,” katanya, memetik Berita Harian.

Turut hadir, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif, dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa.

Jelas Zaliha, keputusan menghentikan operasi SAR dibuat atas beberapa faktor termasuk isu keselamatan membabitkan anggota SAR, selain faktor keselamatan semasa di lokasi susulan beberapa kejadian tanah jerlus susulan yang berlaku akhir-akhir ini.

“Kita tidak boleh meneruskan lagi pencarian atas sebab-sebab keselamatan. Pertamanya keselamatan anggota ataupun pasukan (SAR) yang turun ke bawah untuk mencari mangsa, termasuk keselamatan kesihatan mereka. Arus yang deras boleh membahayakan mereka.

“Perkara kedua ialah keselamatan kawasan yang kita juga melihat kesan-kesan tanah jerlus kedua. Mendapan ini juga memberi kita satu keadaan yang merisaukan atau membimbangkan,” katanya.

Dalam pada itu, katanya SAR dihentikan atas keperluan untuk segera meneruskan aktiviti di kawasan ini terutamanya kepentingan peniaga tetapi tidak mengetepikan hal-hal keselamatan, termasuk keselamatan pengunjung.

Mengulas lanjut, Zaliha berkata selepas SAR dihentikan, tindakan lanjut di lokasi memasuki fasa pemulihan dengan tugas berkenaan diserahkan kepada PDRM untuk keputusan tindakan seterusnya.

Pada masa sama, katanya DBKL akan turut mengambil beberapa tindakan termasuk melakukan pemetaan utiliti di lokasi itu, selain melaksanakan kajian struktur tanah seluruh Kuala Lumpur serta membuat libat urus bersama peniaga di kawasan ini dan sekitarnya.

“Kita juga minta kepada DBKL untuk melakukan pemulihan dan pembinaan semula (laluan) di kawasan yang terlibat yang sudah dikenal pasti yang jaraknya dari pintu gerbang (Jalan Melayu) sehingga ke Pasar Raya Mydin, lebih kurang 100 meter. Laluan itu kini ditutup.

“Pihak DBKL juga menyatakan sebarang rancangan pembangunan selepas ini memerlukan laporan geoteknikal terlebih dahulu,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berterima kasih kepada semua agensi yang terbabit dalam operasi SAR yang sudah bertungkus-lumus dalam usaha pencarian mangsa sejak hari pertama kejadian pada 23 Ogos lalu.

Anda Mungkin Berminat