DUN Mahkota: PKR Simpang Renggam sokong calon daripada BN

SIMPANG RENGGAM: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Simpang Renggam bersetuju untuk memberi laluan kepada calon daripada Barisan Nasional (BN) untuk mewakili Kerajaan Perpaduan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota.

PKR Simpang Renggam sudah ambil maklum dengan keputusan yang telah dibuat oleh Sekretariat Kerajaan Perpaduan itu, sekali gus menyokong usaha BN mempertahankan kerusi terbabit.

“PKR Cabang Simpang Renggam juga akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bersetuju untuk memberi laluan kepada calon daripada BN untuk mewakili Kerajaan Perpaduan di dalam PRK tersebut.

“Betitik tolak dari kesedaran ini, PKR Simpang Renggam akan menyokong penuh calon Kerajaan Perpaduan dari BN dan akan memberikan komitmen sepanjang tempoh kempen agar kemenangan berpihak kepada calon Kerajaan Perpaduan demi perpaduan, kemajuan dan reformasi berterusan di peringkat pusat,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Tambah kenyataan itu lagi, pengundi DUN Mahkota diseru untuk mengundi calon Kerajaan Perpaduan dan bersama mendukung agenda MADANI yang dibawa oleh Kerajaan Pusat.

Terdahulu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengumumkan tarikh 28 September 2024 sebagai hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota di Johor, manakala hari penamaan calon pula ditetapkan pada 14 September.

PRK DUN Mahkota diadakan susulan pemergian penyandang kerusi tersebut, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada jam 12.30 tengah hari pada 2 Ogos lepas.

Jenazah Sharifah Azizah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Raudahatul Sakinah, Kampung Tengah Kluang pada petang 2 Ogos lalu.

Anda Mungkin Berminat