Oleh: Dr Yusri Ibrahim
GELOMBANG Hijau iaitu merujuk gelombang sokongan Orang Melayu kepada Perikatan Nasional (PN) bermula dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15) November 2022.
Gelombang itu kemudiannya memuncak dalam pilihan raya negeri (PRN) enam negeri Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Penang, Selangor dan Terengganu pada Ogos 2023.
Sewaktu Gelombang Hijau belum memuncak dalam PRU15, PN telah mengumpul 14,794 atau 30 peratus undi di DUN Mahkota.
Dengan kata lain, PN berpotensi mengumpul lebih besar undi andai Johor juga terlibat dalam PRN 2023 tersebut.
Menuju pilihan raya kecil (PRK) Mahkota September nanti, PN berupaya memberi cabaran bermakna andai mampu mengekalkan undi sedia ada mereka dalam PRU15.
Dalam masa sama menambah sedikit lagi undi dalam beberapa segmen lain yang belum diukur semasa kemuncak Gelombang Hijau yang dimaksudkan.
Peluang PN akan semakin terbuka apabila kadar keluar mengundi rendah, seperti biasa dalam siri-siri PRK biasanya kadar keluar pemilih etnik Cina iaitu pengundi teras PH rendah.
Inilah asas untuk saya menghujahkan bahawa gelanggang Mahkota masih terbuka luas, walaupun di atas kertas seperti BN-PH lebih berpeluang.
Peluang BN hanya akan semakin meyakinkan dengan keterlibatan dan keberkesanan kempen PH, khususnya memujuk 19,520 atau 40 peratus pengundi sedia ada PH dalam PRU15 lalu.
Dalam pilihan raya terakhir di Mahkota iaitu perebutan kerusi Parlimen Kluang, undi dan kekuatan yang dimiliki PH jauh mengatasi BN, perbezaan 10 peratus undi daripada keseluruhan 77 peratus kadar keluar mengundi.
Tanpa bossku, mampukah BN pertahan Mahkota?
Penamaan calon untuk PRK DUN Mahkota akan dilangsungkan pada 14 September 2024, manakala pembuangan undi pada 28 September selepas 14 hari tempoh berkempen.
Isunya, bolehkah UMNO/BN mengulangi kejayaan Nenggiri di Mahkota?
Pada pandangan saya, tiada laluan mudah untuk BN di Mahkota.
Pertama, Mahkota dan Nenggiri sangat berbeza geografi, demografi, psikografi dan tingkah laku pengundi.
Itu adalah empat faktor dominan yang sering menentukan pola dan kecenderungan pengundian dalam pilihan raya.
Dengan kata lain, model Nenggiri sama sekali tidak mencerminkan senario yang bakal berlaku di Mahkota.
Kedua, UMNO/BN kehilangan faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan mereka di Mahkota dalam PRN Johor 2022 iaitu faktor Bossku Najib.
Faktor Bossku itu banyak memberi aura untuk kemenangan di Mahkota dalam PRN 2022.
Adakah UMNO/BN cukup kuat di Mahkota jika bersendirian tanpa dibantu parti PH dan tanpa faktor Bossku?
Tidak, UMNO/BN akan kalah.
Buktinya UMNO/BN kalah kepada PH dengan majoriti 1,668 undi dalam PRU14 pada 2018.
Jika disorot mengikut undi DUN Mahkota, UMNO/BN juga kalah dengan majoriti 4,686 kepada PH bagi perebutan parlimen Kluang dalam PRU15 pada 2022.
Dengan kata lain kekuatan UMNO/BN di Mahkota adalah tidak menentu (fragile).
Dengan sekitar 57 peratus pengundi Melayu, 34 peratus pengundi Cina dan 7 peratus pengundi India, UMNO/BN berpeluang keluar sebagai pemenang jika;
i) Mendapat kerjasama mantap oleh PH terutama DAP, termasuk untuk memujuk pengundi etnik Cina keluar mengundi.
ii) Berjaya memujuk undi teras UMNO yang swing dalam PRU15 untuk kembali memberi undi kepada mereka, dalam aspek ini strategi Nenggiri boleh digunakan.
Tanpa dua elemen ini, PN berpeluang untuk membuat kejutan di Mahkota, kerana mereka telah memiliki 30 peratus iaitu hampir 15,000 undi dalam PRU15 lalu.
***Penulis adalah pensyarah Program Pengajian Polisi Fakulti Perniagaan, Ekonomi dan Pembangunan Sosial, Universiti Malaysia Terenggu (UMT) dan juga Ketua Penyelidik Ilham Centre