Tiga doktor ditahan SPRM, KKM sedia beri kerjasama

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyatakan kesediaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penahanan tiga doktor kanan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Penahanan tersebut dikaitkan dengan kartel yang didakwa memalsukan tuntutan hilang upaya Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO).

“KKM tidak akan bertolak ansur dengan sebarang penyelewengan kuasa di kalangan warga kerja mereka.

“Tindakan sewajarnya akan diambil bagi memastikan perkhidmatan kesihatan awam sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, SPRM menahan 32 individu termasuk tiga pegawai perubatan di Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kartel yang dikatakan telah memalsukan tuntutan hilang upaya PERKESO di negeri itu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki yang mengesahkan penahanan ini berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada dua pegawai perubatan kanan hospital kerajaan serta seorang doktor pakar hospital swasta.