Oleh: Hanim Nadia
KUALA TERENGGANU: Universiti Malaysia Terengganu (UMT) mencipta rekod Malaysia apabila mewujudkan titik datum menggunakan mesin juruwang automatik (ATM) bawah air pertama di negara ini.
Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMT, Profesor Dr Marinah Mohd Ariffin berkata, projek itu bekerjasama dengan pihak RHB dan Jabatan Warisan Negara (JWN) demi memperkasakan program arkeologi bawah air negara.
“Ini adalah kesinambungan daripada program Bidong Summit yang dimulakan sejak tahun 2022.
“Kali ini, Bidong Summit 3.0 memfokuskan kepada usaha mewujudkan mewujudkan Pusat Latihan Arkeologi Bawah Air Nasional (PLAN) yang pertama di Malaysia, yang mana salah satu daripada komponen PLAN adalah penyediaan tapak simulasi latihan arkeologi bawah air,” katanya memetik laporan Bernama.
Mengulas mengenai titik datum, katanya, dalam bidang arkeologi adalah titik rujukan tetap yang digunakan sebagai titik permulaan untuk memeta dan merekod penemuan dan ciri arkeologi dalam sesuatu tapak arkeologi sama ada daratan atau bawah air.
Jelasnya, titik datum yang dipilih di tapak arkeologi biasanya merupakan satu penanda yang bersifat kekal, dimana koordinatnya akan direkodkan.
Sebaik sahaja titik datum ditetapkan, ahli arkeologi akan menggunakannya untuk mencipta sistem grid yang membahagikan tapak kepada unit yang lebih kecil untuk penggalian dan rakaman yang sistematik.
Penggunaan titik datum juga penting untuk mengekalkan ketekalan dan ketepatan dalam penggalian arkeologi dan proses merekod tapak dan jumpaan artifak. Semua artifak yang dibawa naik perlulah direkod dan didaftarkan kepada pihak pengurusan JWN.
“Program yang dilaksanakan ini adalah yang pertama seumpamanya di Malaysia yang mana dua tapak simulasi arkeologi bawah air akan diwujudkan iaitu di daratan dan di kawasan perairan stesen penyelidikan ini pada kedalaman lapan meter.
“Program yang dilangsungkan kali ini turut melibatkan sambutan Bulan Kemerdekaan melalui aktiviti Malaysia Book of Record bagi Titik Datum ATM pertama di Malaysia untuk Tapak Latihan Arkeologi Bawah Air di Sekolah Menyelam UMT(Pulau Bidong),” tambahnya.
Di tapak simulasi tersebut, pihak RHB sebagai rakan strategik program menyumbang dua mesin ATM terpakai mereka untuk dijadikan titik datum bagi tapak simulasi latihan arkeologi bawah air.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, Datuk Adissadikin Ali berkata, mesin ATM dipilih pihaknya untuk dijadikan titik datum di tapak latihan simulasi memandangkan ia boleh dijadikan simbolik bahawa ekosistem lautan dan segala macam artifak di dalamnya sebagai sesuatu yang amat berharga dan perlu dipertahankan sebaik mungkin.
“RHB sebagai institusi bank juga perlu memikirkan apakah langkah terbaik untuk kita sama-sama menjaga warisan kebudayaan sebegini yang pastinya cukup penting untuk tatapan generasi masa depan.
“Selain itu, RHB juga mempunyai inisiatif lain bagi sama-sama membolehkan ahli masyarakat terbabit dalam aktiviti kelestarian kelautan ini. Sebagai contoh, sekiranya pelanggan ingin membuka akaun bank RHB, sebanyak RM15 bayaran akan dikenakan bagi tujuan proses pembukaan akaun dan pengeluaran kad debit (sepenuhnya menggunakan bahan boleh kitar semula) di bawah inisiatif Ocean Harmoni Penyu.
“Pemegang akaun juga diminta menyumbang sebanyak RM3 (nilai minimum) yang akan disumbangkan terus kepada pihak UMT yang terbabit secara langsung dalam program ini,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pengarah Jabatan Warisan Negara (JWN) Mohamad Muda Bahadin berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kerjasama strategik dengan lebih ramai pihak yang berminat untuk pemerkasaan warisan budaya bawah air negara.
Menurut beliau, aktiviti melestarikan warisan kebudayaan sedemikian tidak boleh hanya dipikul oleh beberapa pihak sahaja memandangkan ianya adalah harta warisan negara yang turut dilindungi di bawah penguatkuasaan Akta Warisan Kebudayaan 2005 (Akta 645).