Kanak-Kanak Pandu Kenderaan, Ibu Bapa Lalai Akan Didakwa

Oleh: Hanim Nadia

PUTRAJAYA: Ibu bapa perlu bertanggungjawab atas salah laku melibatkan kanak-kanak membawa kenderaan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, ini kerana ibu bapa sepatutnya bertindak mengawal dan mengawasi anak-anak mereka.

Malah, tegas Anthony, pihaknya tidak boleh menjaga setiap keluarga di negara ini berhubung sebarang tindakan salah laku membawa kenderaan melibatkan kanak-kanak.

“Ibu bapa dan pemilik kenderaan boleh dihadapkan ke mahkamah kerana kelalaian mereka membenarkan anak-anak memandu. Kita tidak boleh dakwa kanak-kanak itu. Ibu bapa kena bertanggungjawab.

“Macam mana Kementerian Pengangkutan boleh jaga setiap keluarga, jadi itu tanggungjawab ibu bapa. Mereka kena pastikan ada mesej yang betul dan didikan serta pengajaran kepada kanak-kanak supaya tidak sesuka hati membawa kenderaan.

“Bagaimana mereka boleh mendapatkan kunci dan bawa kereta, itu sesuatu yang tidak ada sesiapa yang boleh kawal kecuali ibu bapa sendiri,” katanya kepada pemberita.

Anthony berkata demikian dalam sidang media selepas menghadiri Mesyuarat Majlis Konsultatif Penerbangan Negara dan peluncuran Pelan Hala Tuju Penyahkarbon Sektor Penerbangan Malaysia di Putarajaya pada Khamis.

Media sebelum ini melaporkan seorang kanak-kanak lelaki dikesan memandu sebuah kereta milik ibu bapanya sehingga mengakibatkan kemalangan dengan dua kenderaan lain di Jalan Arowana 2, Taman Arowana Impian di Seremban.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, dalam kejadian kira-kira 9.30 malam itu, kanak-kanak berusia 10 tahun itu memandu kereta jenis Toyota Corolla bersama penumpang yang juga jirannya berusia sembilan tahun.

Kereta dipandu kanak-kanak itu terbabas ketika melalui selekoh sebelum merempuh sebuah van yang diparkir di bahu jalan.

Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39(1) dan Seksyen 111 Akta Pengangkutan Jalan 1987, Kaedah 10 Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 serta Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.