MASYARAKAT Malaysia diberi layanan tidak adil oleh gergasi media sosial Amerika Syarikat (AS), Meta.
Antaranya, Meta menurunkan hantaran Perdana Menteri yang menzahirkan ucapan takziah dan penghormatan terhadap Ketua Biro Politik Hamas Ismail Haniyeh yang dibunuh di platform Facebook dan Instagram pada 14 Mei dan Julai lepas.
Pada 19 Julai pula, syarikat keselamatan siber Amerika Syarikat CrowdStrike mengedarkan kemas kini perisian keselamatan yang rosak menyebabkan anggaran 8.5 juta komputer yang menjalankan Microsoft Windows tidak dapat memulakan kerjanya dengan betul.
Insiden tersebut menunjukkan penyedia perisian AS mengaut keuntungan daripada rakyat di negara ini.
Namun mereka tetap gagal menjamin keselamatan dan kebebasan pengguna. Ini juga mendedahkan negara ini bergantung perisian AS dan sukar melarikan diri dari kawalan teknikal AS.
Keadaan ini sangat membimbangkan.
Kawalan berpusat
Jika perisian yang kita gunakan untuk mengekalkan pengurusan dan operasi masyarakat tiba-tiba bermasalah atau AS beri tekanan bagi mendesak Malaysia ubah pendirian yang menyokong Palestin melalui kawalan teknikal, ia akan memberi impak buruk terhadap semua sektor.
Contohnya, perkhidmatan kerajaan diputuskan mengakibatkan kekacauan sosial, operasi syarikat diputuskan mengakibatkan kehilangan wang serta data peribadi dibocor mengakibatkan penipuan.
Keselamatan pengguna negara tidak dijamin malahan keupayaan teknikal negara untuk menghadapi cabaran tersebut juga tidak sedia.
Saya fikir insiden tersebut menjelaskan pentingnya mempunyai sistem operasi dan perisian sendiri.
Dari segi lain, ini juga memberi peluang besar kepada industri teknologi negara. Kita perlu menyelesaikannya secara aktif bagi membendung bahaya tersembunyi yang mengancam keselamatan negara, sekali gus mengukuhkan kedudukan pusat teknologi Malaysia di serantau.
Selain itu, negara perlu tingkatkan infrastruktur keselamatan siber, percepat inovasi dan jalankan penyelidikan dalam pembangunan sistem pengoperasian dan perisian sendiri.
Ia untuk mengurangkan kebergantungan kepada teknologi luar negara terutamanya dalam aspek pertahanan dan keselamatan.
Jangan takut dengan AS
Jangan takut dengan ugutan dan tekanan AS. kita perlu terus menyokong perjuangan rakyat Palestin, membantah kekejaman Israel ke atas rakyat Palestin, boikot syarikat-syarikat mempunyai kaitan dengan Israel seperti BlackRock, firma AS yang membekallan senjata kepada Israel, memiliki pegangan dalam Malaysia Airports Holdings Bhd.
Sebagai manusia dan umat Islam, kita tidak mahu anak-anak dan wanita di Gaza terus dizalimi, ditindas dan sengsara akibat perbuatan durjana Israel. Kita perlu tegas suarakan mendukung keamanan dan menentang keganasan pada peringkat antarabangsa.
Platform media sosial disebut di atas adalah saluran yang terbaik untuk kita bersuara. Namun malangnya, kebebasan bersuara kita tidak dijamin kerana majoriti platform media sosial yang kita guna dikendali dan dimiliki oleh AS.
Malah gergasi IT termasuk Google, Meta, Amazon dan Apple melalui surat secara terbuka pernah membantah rancangan kerajaan untuk melesenkan platform media sosial baru-baru ini.
Justeru, kita perlu pertimbangkan untuk membangunkan platform media sosial sendiri termasuk sistem operasi sendiri.
Oleh Ahmad Adham Adnan, Jurutera Komputer