Oleh: Hanim Nadia
KUALA LUMPUR: Sindiket pengedaran dadah di sebuah kodominium mewah tumpas dalam satu operasi di sekitar ibu negara dan Selangor pada Isnin lalu.
Ketua Polis Kuala Lumpur (KL), Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, dalam serbuan itu polis merampas sebanyak 19.5 kilogram (kg) dadah jenis ketamin dan ekstasi bernilai RM1.6 juta.
Katanya, ketika serbuan itu, polis memeriksa sebuah beg yang dipegang oleh suspek pertama dan menemui dadah disyaki ketamin dengan anggaran berat 10.5 kg yang bernilai kira-kira RM500,000.
“Tiga lelaki tempatan berusia antara 23 hingga 30 tahun ditahan di Cheras dipercayai pengedar dadah.
“Susulan itu, sepasukan anggota bersama suspek ke sebuah kondominium di Cheras Perdana, Selangor dan menemui tiga bungkusan plastik dadah disyaki ekstasi seberat kira-kira 5.2 kg dan dua bungkusan ketamin kira-kira 4 kg.
“Rumah itu dipercayai dijadikan lokasi untuk penyimpanan dadah yang kita syaki untuk pasaran tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Rusdi berkata, dadah yang dirampas itu dipercayai dari luar negara dan jika diedarkan, ia boleh digunakan untuk 40,000 pengguna.
Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menyita harta suspek bernilai RM66,900.
“Hasil rampasan, wang tunai berjumlah RM900, barangan kemas RM4,000 dan kerete jenis perodua Myvi dengan nilai semasa RM62,000.
“Hasil ujian air kencing mendapati suspek pertama dan kedua positif dadah jenis THC dan ketamin manakala suspek ketiga negatif.
“Kesemua suspek direman enam hari sehingga 9 September mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah dan siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.