Oleh: Hanim Nadia
BANGI: Cadangan meletakkan rokok dalam bahagian tidak halal akan dibincang bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, ini kerana ketetapan tersebut adalah bidang kuasa KPDN.
“Kita akan bincang dengan Menteri KPDN, Datuk Armizan Mohd Ali.
“Daripada perspektif kita ialah bahagian fatwa itu (pengharaman rokok). Jadi, sejauh mana nak menentukan rokok itu duduk di seksyen halal atau tidak, yang itu di bawah kuasa KPDN.
“Jadi, saya akan cuba bincang,” katanya pada sidang media selepas menyampaikan tajaan Skim Pembiayaan Hafiz (SPH) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) di Bangi, pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita, memandangkan rokok telah lama difatwakan haram untuk umat Islam.
Untuk rekod, rokok difatwakan haram dalam keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-37 yang bersidang pada 23 Mac 1995 manakala vape diharamkan sejak 2015.