Warga emas meningkat 11.6 peratus – DOSM

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Komposisi penduduk berumur 60 tahun dan ke atas pada 2024 meningkat kepada 11.6 peratus berbanding 5.4 peratus pada tahun 1970.

Menurut Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, komposisi tersebut dijangkakan meningkat kepada 17.3 peratus pada tahun 2040.

“Pada tahun 2039, penduduk berumur 60 tahun dan ke atas diunjurkan lebih ramau iaitu 6.7 juta berbanding bilangan penduduk berumur 14 tahun dan ke bawah (6.11 juta).

“Ia merupakan objektif peluncuran aplikasi MyAgeing Dashboard yang bertujuan memudahkan pengguna mengakses statistik yang berkaitan dengan struktur umur penduduk, penuaan dan jangka hayat di peringkat Malaysia, negeri dan daerah pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataam.

Beliau berkata, aplikasi berkenaan merupakan gabungan daripada pelbagai sumber data primer yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

“Aplikasi itu merangkumi Anggaran Penduduk Semasa, Data Banci Penduduk, Perangkaan Penting dan Jangka Hayat serta data pentadbiran daripada Kementerian atau Jabatan atau Agensi Kerajaan seperti data fasiliti kesihatan dan perkhidmatan sosial untuk warga emas,” katanya.

Dalam pada itu, untuk menggunakan khidmat tersebut boleh layari https://www.dosm.gov.my/MyAgeing dan kini DOSM sedang menjalankan Banci Pertanian 2024, boleh terus layari https://www.myagricensus.gov.my.

Baca juga: