Henti Panaskan Isu Sijil Halal, Jaga Sensiviti – Mujahid

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Semua pihak digesa henti mempolitikkan isu pensijilan halal dan tidak menjadikannya sebagai dorongan kebencian kaum dan agama di negara ini.

Timbalan Presiden AMANAH, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa menegaskan, tidak timbul soal paksaan dalam pensijilan halal kerana ia pada asalnya adalah tanggungjawab umat Islam yang mahukan keberkatan hidup mematuhi syariat.

“Hentikan pertikaian yang tidak produktif demi kita mengangkat industri halal negara ke tahap global dan berhentilah dari mencetuskan isu sensitif agama kerana isu halal adalah juga paksi kehidupan umat Islam,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Selasa.

Bagaimanapun, jelasnya, keberkatan tersebut kini merentas kepada satu keperluan pasaran yang berkembang pesat dan menguntungkan.

“Halal tidak lagi terhad kepada pemilik industri Muslim tetapi syarikat ‘non’ Muslim lebih banyak terlibat dalam permintaan sijil halal berbanding industri yang dimiliki oleh pemilik Muslim,” katanya.

Malah, beliau juga menyifatkan pihak yang mensensasikan isu halal telah tersasar jauh daripada memahami tuntutan halal, di mana pengguna kini lebih prihatin memilih produk daripada sudut panduan agama dan pemilihan bahan yang selamat.

Katanya lagi, halal telah berkembang menjadi satu pasaran besar dan turut dipengaruhi oleh faktor ‘supply and demand’ (penawaran dan permintaan) bukan sahaja dalam makanan dan minuman (F&B) tetapi juga bahan makanan, kosmetik, farmaseutikal mahupun logistik.

“Ekonomi berpandukan keperluan produk halal kini menguasai pasaran dan dijangkakan akan meningkat kepada 22.34 trilion menjelang 2030.

“Halal telah berjaya merentasi batasan agama kepada keperluan pasaran yang meletakkan piawaian safe (selamat), hygien (bersih) dan healthy (sihat),” ujarnya.

Anda Mungkin Berminat