Inovasi pertanian penting untuk keterjaminan makanan

Oleh: Shafira Aziz

KLUANG: Penyelidikan dan pembangunan sektor pertanian penting dalam memastikan keterjaminan negara kekal konsisten.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementerian di bawah pentadbirannya komited dalam menyokong usaha-usaha penyelidikan yang dijalankan di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Antara sokongan yang diberikan kementerian terhadap MARDI termasuk pengembangan teknologi pertanian mampan dan mesra alam.

“Dalam lawatan hari ini, saya sempat berinteraksi dengan para penyelidik untuk mendengar pandangan serta cabaran yang mereka hadapi dalam sektor pertanian.

“Insha-Allah, saya yakin kerjasama antara MARDI dan komuniti petani dapat meningkatkan kesedaran mengenai pentingnya inovasi dalam pertanian untuk mencapai matlamat keterjaminan makanan yang lebih baik,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata demikian dalam lawatan ke Stesen MARDI di Kluang pada Selasa.