KSN serius dalam agenda reformasi penjawat awam

PUTRAJAYA: Bagi menjayakan agenda reformasi perkhidmatan awam ke tahap lebih cemerlang dan menyakinkan, semua pihak perlu serius dalam mendepani cabaran sekali gus melaksanakannya dengan lebih kompeten.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata beliau serius dalam usaha melaksanakan reformasi dalam pentadbiran awam.

“Nada yang saya tegaskan tadi berkaitan reformasi ini nampak begitu serius. Sebenarnya ia memang serius.

“Maka sesuai dengan agenda reformasi perkhidmatan awam yang ingin saya bawakan, maka saya merayu agar bantulah saya dan sokonglah saya untuk kita mentransformasikan perkhidmatan awam di Malaysia,” katanya ketika berucap dalam Majlis Aspirasi Kepimpinan Setiausaha Negara 2024 pada Selasa.

Justeru, Kerajaan wujudkan Jawatankuasa Khas Resolusi Badan Berkanun Persekutuan yang akan diketuai oleh Datuk Seri Asri Hamidun, mantan KSP berkuat kuasa hari ini.

“Saya sedar, azam untuk menjayakan agenda reformasi perkhidmatan awam ini hanyalah satu permulaan. Namun, saya harap segala bidang keberhasilan yang saya sebutkan tadi akan menjadi permulaan yang baik, untuk kita melonjakkan sektor perkhidmatan awam ini ke tahap yang lebih cemerlang dan meyakinkan.

“Pada saya, terdapat dua pemboleh daya utama yang membantu kita memeta kejayaan reformasi perkhidmatan awam selain daripada inisiatif-inisiatif yang dilaksanakan.

“Pertama, pemantauan, pengukuran dan penilaian prestasi. Kita selalu leka dengan elemen ini. Malah, dalam Laporan Ketua Audit Negara sering dibangkitkan bahawa kurangnya pemantauan merupakan antara faktor yang menyumbang kepada kelemahan dalam pelaksanaan projek dan program Kerajaan.

“Saya tidak nafikan kita buat follow-up. Tetapi, bagaimana dengan follow through? Sejauh mana kita komited untuk memastikan setiap sasaran dapat dicapai?,” soalnya lagi.

Shamsul Azri turut berharap agar jawatankuasa yang memantau seumpama Majlis Tindakan Malaysia MADANI (MTMM), Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (Special Task Force on Agency Reform – STAR), PEMUDAH dan Jawatankuasa Pemantauan Penyampaian Perkhidmatan (JP4) mampu memperkukuhkan lagi elemen ini bagi mendapatkan keputusan yang lebih baik.

      Anda Mungkin Berminat