26 warga asing jalan perniagaan tidak sah di Pulau Perhentian

Oleh: Kamilia Ali

KUALA TERENGGANU: Seramai 26 warganegara asing telah ditahan oleh Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Terengganu dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di sekitar Pulau Perhentian, disini, hari ini.

Menurut Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh, 26 warganegara asing yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki warga Bangladesh, enam lelaki warga Myanmar, dua lelaki warga Pakistan, seorang lelaki warga Nepal, tiga perempuan warga Thailand dan seorang perempuan warga Indonesia.

“Kesemua warga asing yang ditahan ini dipercayai menjalankan aktiviti perniagaan dan bekerja di lokasi pemeriksaan sejak awal tahun 2024 dan kesemuanya berusia di antara 22 hingga 50 tahun.

“Semakan awal mendapati tiga lelaki warga Bangladesh, dua lelaki warga Pakistan dan tiga perempuan warga Thailand memiliki Pas Lawatan Sosial (PLS) yang masih sah laku.

“Manakala, warga asing yang lain tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan atau pas yang sah untuk berada di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, kebanyakan warga asing yang ditahan menjalankan aktiviti perniagaan di mana, warga Bangladesh menawarkan perkhidmatan ‘water taxi’ dan Thailand menawarkan perkhidmatan ‘spa’.

“Kesemua suspek dipercayai telah menjalankan perniagaan dan bekerja selama sembilan bulan.

“Dalam pada itu, mereka yang ditahan telah dibawa ke Depot Imigresen Ajil kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(3) Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Terengganu akan mengesan majikan yang menggajikan atau menggunakan pekerja warganegara asing tanpa dokumen atau pas yang sah,” tegasnya lagi.

Baca juga: