Farhan Fauzi dikurnia gelaran Datuk

Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, Ahmad Farhan Fauzi dikurniakan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk, hari ini.

Ia bersempena dengan Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Yang ke-65 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Farhan yang memegang jawatan tersebut sejak Disember 2022 aktif melibatkan diri dalam Program Ziarah Madani mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyampaikan sumbangan kepada golongan artis, ibu tunggal, pengidap penyakit kronik dan lain-lain.

Antara beberapa figura terkenal yang menerima sumbangan daripada Anwar termasuk vokalis kumpulan XPDC, Ali Ismail, penyanyi pop veteran, Allahyarham Jay Jay dan seniwati negara, Datuk Dr Sarimah Ahmad.

Untuk rekod, bapa kepada Farhan ialah Datuk Seri Fauzi Abdul Rahman yang juga merupakan Pengerusi MyHSR Corp dan pernah menjawat jawatan sebagai Ahli Parlimen Indera Mahkota dan Kuantan.

Selain Farhan, terdapat 10 individu lain yang turut menerima penganugerahan yang sama termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur, Rosli Abdul Jabar dan ADUN Beserah, Andansura Rabu.

Baca juga: