LAHAD DATU: Kerajaan berusaha meningkatkan pendapatan warga peneroka FELDA dengan meningkatkan eksport sawit.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau dan menteri berkaitan sentiasa menghargai warga peneroka.
“Kerana itu saya gunakan setiap ruang ketika bertemu pemimpin dunia seperti China, India dan Rusia untuk meningkatkan pembelian sawit Malaysia dan Alhamdulillah, mereka menyatakan persetujuan hasil hubungan persahabatan yang akrab.
“Saya zahirkan setinggi-tinggi penghargaan buat warga FELDA Wilayah Sahabat yang telah bersama-sama dengan badan penguat kuasa sebagai barisan hadapan dalam usaha menentang pencerobohan di Lahad Datu pada 2013,” katanya yang berkunjung ke FELDA Wilayah Sahabat dekat sini dalam Majlis Santunan Budi, Tautan Kasih FELDA MADANI.
Dalam majlis sama, Anwar turut umumkan persetujuan mengeluarkan tanah adat anak negeri seluas 400 hektar di Tambisan, Lahad Datu daripada kawasan FELDA Wilayah Sahabat dan dikembalikan semula kepada orang kampung yang telah menduduki kawasan tersebut lebih awal sebelum FELDA.
“Saya dimaklumkan bahawa perkara ini telah disuarakan sejak puluhan tahun oleh penduduk Tambisan.
“Kerajaan MADANI enggan membiarkan isu ini berlarutan dan Insya-Allah, ia akan diselesaikan bersama-sama Kerajaan Sabah dan FELDA dalam tempoh dua bulan,” katanya.
Beliau turut meredakan kebimbangan penduduk kampung dengan masalah air dan elektrik yang belum berkesudahan dan berjanji menyelesaikannya dengan Kerajaan Negeri.