NUBE buat laporan polis, dakwa Maybank salah guna pita polis

Oleh: Shafira Aziz

KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Bank (NUBE) Malaysia membuat laporan polis terhadap pengurusan Maybank yang dipercayai menggunakan pita polis secara tidak sah.

Dalam satu kenyataan, NUBE Malaysia berkata pita tersebut dilihat diletakkan di kawasan luar Menara Maybank semasa piket aman kesatuan tersebut pada 7 September lalu.

Pada mulanya, mereka membuat andaian bahawa pihak polis telah terlibat untuk menghalang mereka daripada menuntut hak namun ia tidak benar.

“Pemasangan pita polis tersebut menunjukkan seolah-olah pihak polis terlibat untuk menghalang kami daripada menuntut hak kami namun sebenarnya mereka tidak terlibat.

“Ia menunjukkan pengurusan Maybank telah menggunakan pita polis secara tidak sah di ruang awam untuk menggertak ahli-ahli kami dan mengganggu aktiviti kesatuan yang sah,” kata kenyataan tersebut.

NUBE turut menyatakan mereka percaya tindakan tersebut merupakan pelanggaran serius dibawah Seksyen 170 dan 171 Kanun Keseksaan dan menggesa tindakan segera diambil.

Dalam pada itu, NUBE turut menyatakan mereka tidak akan berdiam diri dalam memperjuangkan hak pekerja dan akan terus menuntut keadilan buat semua.

Untuk rekod, piket yang dilakukan di Menara Maybank tersebut adalah untuk menggesa perubahan dari pihak Maybank yang dikatakan terus menindas pekerja melalui gangguan seksual, rasisme dan cubaan memecahkan kesatuan berkenaan.