PN tolak dua draf MoU peruntukan pembangkang

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Pembangkang sebulat suara menolak dua draf cadangan Memorandum Persefahaman (MoU) daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan kepada Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN).

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, keputusan tersebut dibuat berasaskan empat sebab utama.

Katanya, cadangan MoU itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan, bertentangan nilai budaya, moral dan agama, boleh disalah tafsir dan salah guna kuasa serta mengongkong kebebasan.

“Kami telah menerima dua set draf cadangan MoU daripada kerajaan berkaitan dengan peruntukan, iaitu di antara Kerajaan Malaysia dan parti PN serta di antara Kerajaan Malaysia dengan kesemua Ahli Parlimen PN.

“Bagaimanapun, kami membuat ketetapan menolaknya kerana beberapa syarat yang dikenakan dalam MoU ini dikhuatiri boleh menjejaskan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Draf MoU ini mengandungi syarat yang dilihat bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama dan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Hamzah mendakwa, draf MoU tersebut juga tidak mempunyai satu mekanisme yang jelas dan keadaan ini boleh membuka ruang kepada berlakunya apa-apa pelanggaran, mungkir janji atau ketidakpatuhan secara ex-parte.

Selain itu, ia turut mengandungi perkara-perkara yang dilihat mengongkong kebebasan bersuara ahli Parlimen, sedangkan setiap daripada mereka mempunyai hak dan imuniti untuk bersuara bagi pihak rakyat mengikut Akta 347 Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

“Sehubungan itu, PN mahu mengingatkan pihak kerajaan kepada manifesto Pakatan Harapan, yang berjanji menyediakan Dana Pembangunan Kawasan Pilihan Raya (CDF) secara sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira parti dan rakyat sedang menilai apa sudah jadi dengan janji-janji tersebut,” jelasnya.

Terdahulu, Ketua Whip PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, mendedahkan terdapat tujuh syarat didakwa dikenakan Kerajaan Perpaduan yang perlu dipenuhi Ahli Parlimen pembangkang bagi membolehkan mereka mendapat peruntukan sebagaimana dituntut.

Syarat berkenaan dikatakan meliputi pengisytiharan harta, sokongan kepada kerajaan hingga tamat penggal Parlimen Ke-15, serta perkara berkaitan bangsa, agama dan raja (3R).

Anda Mungkin Berminat