RXZ Members 6.0: Ada kesalahan, tunggu saman Polis – KP Terengganu

Oleh: Hanim Nadia

KUALA NERUS: Motosikal tidak mempunyai cermin sisi kiri dan kanan serta ekzos bising antara kesalahan yang dikesan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap peserta RXZ Members 6.0.

Susulan itu Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairuddin berkata, notis saman atas pelbagai kesalahan itu akan dihantar terus kepada pemilik motosikal melalui alamat pada pendaftaran kenderaan.

“Pada pemantauan dan pemerhatian, kita dapati masih ada peserta gagal mematuhi peraturan lalu lintas ditetapkan.

“Kita sengaja tidak mengeluarkan saman secara terus kepada peserta yang melakukan kesalahan kerana bimbang akan berlaku kesesakan,” katanya kepada media pada Sabtu.

Terdahulu, Mohd Khairi menyampaikan hadiah cabutan bertuah sebuah motosikal RXZ kepada peserta sempena Majlis Perasmian Penutup Himpunan RXZ Members 6.0 di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak pada Sabtu.

Majlis perasmian penutup itu disempurnakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Mohd Khairi berkata, walaupun saman tidak dikeluarkan secara terus, selain tiada sekatan jalan raya, polis mempunyai bukti kesalahan dilakukan peserta RXZ melalui rakaman gambar dan video.

Katanya lagi, secara keseluruhan, polis negeri berpuas hati dengan susun atur dan perjalanan program disebabkan kerjasama baik antara pihak penganjur dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Mengulas jumlah kemalangan jalan raya yang berlaku membabitkan peserta RXZ Members, Mohd Khairi berkata, tiada insiden kemalangan atau kecurian motosikal dilaporkan.

“Bagaimanapun, polis menerima antara tiga dan empat laporan membabitkan penipuan rumah inap desa kepada peserta program.

“Kita sudah membuka kertas siasatan selepas menerima laporan itu,” katanya.

Anda Mungkin Berminat