Parti Keadilan Rakyat (PKR) menegaskan bahawa tiada keputusan telah dibuat berkaitan penangguhan pemilihan parti selepas Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).
Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh Setiausaha Agung PKR, Fuziah Salleh susulan satu laporan yang disiarkan oleh Malaysiakini bertajuk ‘PKR tangguh pemilihan parti selepas PRU16 -sumber’.
Fuziah menafikan laporan tersebut dan menjelaskan bahawa meskipun ada perbincangan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada 15 September 2024, ia hanya berbentuk perbincangan tanpa sebarang keputusan muktamad.
“Tiada keputusan sedemikian telah dibuat sewaktu mesyuarat MPP pada Ahad, 15hb September 2024,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Beliau juga menekankan bahawa mesyuarat tersebut bersetuju akan keperluan lebih banyak libat urus diadakan di semua peringkat kepimpinan sebelum sebarang keputusan berhubung pemilihan parti boleh dibuat.
Ia bagi memastikan pandangan daripada pelbagai pihak dalam parti dapat diambil kira sebelum langkah seterusnya diambil.
Fuziah turut menyatakan kekecewaannya terhadap laporan tersebut, yang menurutnya tidak tepat, walaupun wartawan yang menulis artikel berkenaan, Nantha Kumar, telah menghubunginya sebelum ini.
“Nantha Kumar sudah pun menghubungi saya malam semalam dan saya juga sudah menafikan bahawa keputusan tersebut telah dibuat,” tambahnya.
Beliau turut mengingatkan agar pihak media bersikap lebih bertanggungjawab dan menyampaikan maklumat yang tepat kepada pembaca.