PM: Angkat darjat semua negeri terutama pedalaman dan miskin bandar

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim beri jaminan untuk menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bersama-sama pimpinan kerajaan MADANI.

Beliau berkata Persekutuan tekad untuk terus mengangkat darjat semua negeri terutama kawasan pedalaman, terpencil dan miskin bandar.

“Saya turut memberi jaminan akan bertungkus-lumus menjayakan Perjanjian Malaysia 1963 bersama rakan pimpinan dan Jawatankuasa Teknikal Majlis Tindakan Pelaksanaan MA63 (MTPMA63).

“Saya percaya dengan permuafakatan serta musyawarah yang wujud antara Persekutuan dengan setiap negeri termasuk Sabah dan Sarawak, perkara ini mampu direalisasikan,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.

Dalam pada itu, Anwar merakamkan penghargaan tidak berbelah bahagi kepada rakyat Sabah serta para petugas yang tidak berganjak walau hujan lebat membasahi Padang Merdeka yang menjadi lokasi sambutan Hari Malaysia 2024.

“Semangat Jiwa Merdeka seperti ini harus sentiasa disemat utuh oleh semua dalam membangun Malaysia selain menjauhi sikap perkauman sempit serta kebencian antara satu sama lain,” katanya.

Untuk info, Padang Merdeka, Sabah dihadiri lebih 40,000 rakyat pelbagai lapisan umur, bangsa dan agama bagi menzahirkan rasa cinta kepada negara bertuah ini bersempena Sambutan Hari Malaysia 2024.

Meskipun hujan lebat pada awal sambutan acara yang bermula pukul 8.30 malam, orang ramai tetap setia berada sekitar Padang Merdeka untuk menyaksikan sambutan Hari Malaysia yang gilang-gemilang.

Anda Mungkin Berminat