MoU tindakan menang menang bagi kerajaan dengan pembangkang

Oleh: Dr Zulqarnain Lukman

ULASAN | Timbalan Perdana Menteri (TPM), Datuk Seri Fadilah Yusof telah mendedahkan kandungan memorandum persefahaman (MoU) yang dicadangkan kepada Perikatan Nasional (PN). Pendedahan itu mungkin dibuat ekoran cabaran oleh Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari yang mengatakan, “Sekali-kali kami tidak akan tunduk dengan (dakwaan) kejahatan dan kezaliman ini. Biar mati berkalang tanah, daripada hidup bercermin bangkai. Adakah tidak benar fakta perjanjian ini? Nah, dedahkan kandungan perjanjian jika kerajaan berani.”

Bagi peguam apabila menerima sesuatu draf perjanjian maka dia perlu baca dengan teliti dan memberikan nasihat sewajarnya kepada anak guam (client). Anak guam nanti yang akan membuat keputusan sama ada bersetuju atau tidak. Apa yang jelas adalah MoU ini hanyalah berstatus draf dan TPM sebenarnya sangat berhemah apabila tidak mendedahkan dokumen yang masih di peringkat negosiasi. Namun, apabila penolakan telah dibuat maka apa gunanya lagi negosiasi dan tepatlah tindakan TPM yang mendedahkan kandungan MoU ini.

Sekarang kita tengok kandungan MOU ini adakah benar ianya seperti dakwaan pemimpin PAS dan PN. Secara umumnya, draf MoU ini sebenarnya sangat longgar. Bagi peguam MoU sebegini tidaklah terjumlah kepada satu perjanjian yang ketat. Mahkamah secara konsisten menyatakan sesuatu kontrak harus ditafsirkan mengikut apa yang tertulis. Apabila MoU ini tidak begitu ketat maka sebenarnya ianya lebih menyebelahi pihak PN khasnya apabila PN memperolehi sejumlah dana yang mereka perlukan.

Sayugia diingatkan bahawa tiada mana-mana undang-undang yang menyatakan pihak pembangkang berhak kepada Dana Pembangunan Kawasan Parlimen (Constituency Development Fund). Dana seperti ini hanya diberikan kepada pembangkang semasa Datuk Seri Ismail Sabri menjadi PM9 selepas Pakatan Harapan (PH) pada ketika itu menandatangani MoU seumpama ini.

Tujuan MoU ketika itu adalah untuk mewujudkan kestabilan politik. Pada masa itu barangkali PH pun sudah semakin berputus asa untuk mengambil kembali kerajaan setelah ‘Langkah Sheraton’. Jadi langkah PH pada masa itu adalah untuk sama-sama bekerjasama dengan kerajaan yang ada sambil menumpukan perhatian kepada PRU15. Ternyata langkah PH pada ketika itu membuahkan hasil kerana akhirnya Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjadi PM10.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hadir pada Majlis Sambutan Hari Malaysia yang ke-61 di Kota Kinabalu, Sabah pada 16 September 2024. – AFIQ HAMBALI/Pejabat Perdana Menteri

Isi Kandungan MoU

Isi kandungan MoU ini adalah sangat longgar. Obligasi PN hanyalah untuk memastikan mekanisme kerajaan melawan pembangkang itu berfungsi secara mekanisme semak dan imbang. PN perlu mengemukakan cadangan balas yang kredibiliti dan bukan setakat memainkan isu 3R (bangsa, agama dan raja). PN perlu mendisiplinkan Ahli Parlimennya untuk tidak menyemai kebencian, diskriminasi atau keganasan politik dalam berbeza pendapat.

Tiada pun dalam obligasi ini yang menghendaki PN patuh dan walak kepada apa jua tindakan PM10 atau kabinetnya. PN juga mesti mengemukakan perisytiharan harta serta menjalankan tugas Ahli Parlimen dengan tidak mementingkan diri sebaliknya untuk kepentingan awam, berintegriti, objektif (berdasarkan merit), akauntabiliti, terbuka dan telus, jujur dan mempunyai sifat kepimpinan menghormati individu lain.

Obligasi kerajaan pula adalah untuk melindungi hak Ahli Parlimen PN seperti memberikan tempoh masa berucap, akses kepada Jawatankuasa Pilihan Parlimen, hak untuk meminda dan membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) dan usul; diberikan akses sumber rujukan, pentadbiran, sumber kewangan, ruang pejabat, pembantu parlimen dan elaun; dan diberikan Dana Pembangunan Kawasan Parlimen.

Selain itu, pihak-pihak juga perlu bersetuju bahawa MoU ini akan dijadikan dokumen awam untuk rakyat. Maknanya rakyat boleh mengakses dokumen ini tanpa halangan.

Respon PN dan PAS

Ketua Pembangkang – menolak MoU kerana menjejaskan hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera; bertentangan dengan nilai tradisi, budaya, moral, agama dan nilai tempatan; tiada mekanisme jelas dan membuka ruang untuk perlanggaran terma; mengongkong kebebasan bersuara Ahli Parlimen.

Ahli Parlimen Marang merangkap Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang – PAS menolak memorandum persefahaman (MoU) ditawarkan Kerajaan MADANI selepas mendakwa ia tidak mengikut sifat tabii sebenar dalam amalan demokrasi yang mengikut ajaran Islam. Mengemukakan alasan penolakan itu, Abdul Hadi berkata, kandungan berupa syarat yang digariskan dalam perjanjian itu dilihat sebagai tidak adil, selain ada unsur pembohongan mengikut ajaran Islam.

Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Ku Abd Rahman Ku Ismail berkata, sekiranya syarat-syarat berkenaan dipenuhi, peranan mereka untuk membawa isu-isu kepentingan rakyat akan tersekat. “..kita buat keputusan tak boleh terima sebab syarat itu beri banyak kekangan kepada Ahli Parlimen. “Macam kita ini bukan Ahli Parlimen, dengar kata sajalah. Nak cakap pun tidak boleh, nak tentang, letak syarat 3R dan sebagainya…”

Ahli Parlimen Pasir Mas merangkap Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata, ini kerana draf cadangan MoU itu didakwa mengandungi terma perjanjian yang sangat berbahaya terhadap kedudukan Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kedudukan agama Islam dan hak-hak istimewa Bumiputera. “Dalam memorandum itu, dinyatakan dengan jelas bahawa Ahli Parlimen PN hendaklah memperakui hak-hak sama rata semua rakyat tanpa mengira agama dan bangsa.”

Ahli Parlimen Indera Mahkota merangkap Ketua Portfolio Pendidikan PN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, MoU itu menokok tambah peraturan yang bukan-bukan mengenai perlakuan Ahli Parlimen sedangkan undang-undang berkaitannya telah sedia ada. “Ini akan mengurangkan kebebasan bersuara yang telah sedia ada. Justeru, menerima MoU ini adalah langkah yang berbahaya.”

Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Ahmad Yahaya berkata, “Bahawa kita menolak tawaran yang diberikan kalau sekiranya tawaran itu tidak berikan keuntungan kepada rakyat, tidak berikan keuntungan kepada negara.”

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Lumpur merangkap Pesuruhjaya PAS Pahang, Datuk Rosli Abdul Jabar menjelaskan, penolakan itu demi membebaskan diri daripada kemurkaan ALLAH SWT dan azab-Nya di hari akhirat. “Saya sangat bersetuju MoU ini ditolak, tak mungkin sebagai orang yang beriman sanggup untuk menggadaikan agama, negara dan bangsa demi untuk mendapat peruntukan.”

Ulasan Peguam

Bagi peguam, apabila diberikan draf perjanjian atau MoU, peguam akan meneliti resital, obligasi pihak-pihak, klausa penamatan dan remedi. Setelah meneliti kandungan MoU ini resital yang sangat berat bagi PN untuk terima adalah keabsahan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri melalui usul undi percaya pada 19 Disember 2022.

Kandungan yang berat untuk diterima oleh PN adalah tempoh kuat kuasa MoU ini yang akan berkuat kuasa sehingga habis penggal Parlimen bagi PRU15. Ini bermakna, tiada lagi usaha ‘tebuk atap’ yang boleh diusahakan. Obligasi yang berat untuk diterima oleh PN adalah mereka perlu mendisiplinkan diri untuk tidak lagi membuat bangkangan yang sia-sia (dalam bahasa mudah, bangkangan yang bangang dan tidak ketahuan), serta tidak boleh lagi menyemai ekspresi politik yang berbaur 3R. Selain itu, barangkali juga isu perisytiharan harta juga tidak dipersetujui walaupun setakat ini alasan tersebut belum lagi ditolak oleh mana-mana Ahli Parlimen PN.

Ahli Parlimen Pasir Mas menyatakan tidak setuju atas alasan MoU ini memberikan kesamarataan kepada semua tanpa mengira kaum dan bangsa. Hal ini ada terkandung dalam obligasi 2.1 (g) dan (h). Namun, sebenarnya jika laras bahasa itu tidak dipersetujui boleh sahaja dirundingkan supaya perkataan yang digunakan itu selaras dengan Perkara 8(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan yang juga memberikan hak kesamarataan tertakluk kepada peruntukan lain dalam Perlembagaan seperti kedudukan istimewa Bahasa Kebangsaan, Bumiputera dan Melayu serta kedudukan Raja-Raja.

Kesimpulan

Tindakan PN menolak MoU ini mentah-mentah tanpa berunding adalah merugikan PN itu sendiri. Apa yang mungkin dikatakan oleh YB Ketereh? Sehingga kini YB Ketereh tidak mengeluarkan apa-apa kenyataan. PN rugi kerana mereka boleh mendapat sejumlah dana sebagai balasan daripada MoU ini. Bukankah selama ini PN sering menuntut dana ini daripada kerajaan.

Ada pihak yang membandingkan kedudukan MoU ini dengan perjanjian kepercayaan dan bekalan (CSA) yang dibuat zaman Datuk Seri Ismail Sabri dengan mengatakan kedudukan PM9 pada ketika itu goyang maka perlukan CSA untuk menstabilkan kerajaan. Tetapi sekarang kedudukan PM10 sudah stabil. Mengapakah perlukan lagi syarat-syarat sebegini ditetapkan.

Jawapannya adalah kerana isu 3R ini masih lagi panas dan kerajaan perlu berbuat sesuatu untuk mengelakkan berlaku tragedi yang lebih teruk seperti keganasan yang akhirnya menjejaskan rakyat itu sendiri. Salah satu caranya adalah dengan membuat MoU seperti ini. Adakah kerajaan rugi jika MOU ini tidak ditandatangani? Memang rugi juga kerana kerajaan masih perlu menghabiskan masa untuk menjawab isu-isu 3R. Sepatutnya masa yang ada ini dimanfaatkan untuk pembangunan ekonomi dan menarik pelabur asing.

Kenyataan ADUN Tanjung Lumpur seperti di atas yang mengaitkan penolakan MoU ini dengan menolak kemurkaan Allah itu sungguh melucukan. Bagaimanakah ADUN ini berfikir menandatangani MoU boleh mengundang murka Allah. Apa dosa MoU ini?

Sebenarnya, MoU ini adalah tindakan ‘win-win’ (menang-menang) bagi kedua-dua pihak. Jika ada terma yang tidak dipersetujui maka ianya boleh diubah kepada terma yang lebih baik. Itulah adat berunding. Yang pastinya biarlah berunding sehingga jadi dan bukannya menolak mentah-mentah.

Penulis juga merupakan seorang Peguambela dan Peguamcara