Oleh: Hanim Nadia
PUTRAJAYA: Pegawai Imigresen yang bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menggunakan modus operandi ‘counter setting’ akan dibayar ‘upah’ antara RM200 hingga RM2,500.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, bayaran itu berbeza berdasarkan kerakyatan negara mana yang dibawa masuk.
“Bagi warga Bangladesh, pegawai Imigresen terbabit akan menerima bayaran sebanyak RM2,500 manakala untuk warga Myanmar, kadar upahnya adalah sebanyak RM1,500.
“Pakistan (RM1,300), Yaman (RM1,000), India (RM800), Uzbekistan (RM500), China (RM350), Vietnam (RM350) dan Indonesia (RM300),” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM pada Rabu.
Beliau berkata, setiap pegawai imigresen akan dibayar wang rasuah melalui tunai melalui beberapa ejen.
Mengulas lanjut, kata Azam, modus operandi itu juga menggunakan kod panggilan berbeza mengikut warga asing yang dibawa masuk menggunakan kaunter khas.
“Bagi warga Bangladesh, kod panggilan yang digunakan ialah ‘school boy’, Myanmar (junta), Pakistan (karpet) dan India (kicap atau roti canai).
“Manakala warga China, kod panggilannya ialah limau, Vietnam (laici atau nguyen) dan Indonesia (salak),” katanya.