CEO GISBH, 18 Individu Direman Tujuh Hari

SHAH ALAM: Pengerusi Eksekutif GISB Holdings (GISBH) Sdn Bhd, Datuk Nasiruddin Mohd Ali bersama 18 individu direman selama tujuh hari bermula hari ini hingga 25 September.

Perintah tahanan reman itu dikeluarkan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin selepas membenarkan permohonan pihak polis di Mahkamah Majistret Shah Alam pada Khamis.

Lapor media tempatan, kesemua suspek berusia lingkungan 25 hingga 65 tahun terdiri 12 lelaki dan tujuh wanita akan ditempatkan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Pada prosiding tersebut, kesemua suspek tidak diwakili peguam dan permohonan reman dibuat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Kesemua suspek akan disiasat mengikut Seksyen 32 (a) Akta Kanak-kanak 2001, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain mengesahkan penahanan kesemua suspek dalam serbuan di sekitar Lembah Klang.

Mereka ditahan sekitar jam 5.40 pagi pada Khamis oleh sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman.

Sebelum ini, seramai 402 kanak-kanak telah berjaya diselamatkan polis dalam serbuan Op Global di 20 buah rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan.

Daripada jumlah tersebut, seramai 10 kanak-kanak dihantar ke rumah pelindungan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) selepas mendapati mereka adalah orang kelainan upaya (OKU) dan autisme.

Pecahan jumlah mangsa adalah 202 lelaki dan 190 perempuan.

Proses saringan kesihatan telah dijalankan di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Seramai 159 individu telah ditangkap membabitkan 39 lelaki dan 120 wanita.