Semiskin mana pun, saya tetap akan bagi kepada rakyat – Anwar

Oleh: Haikal Tajuddin

PETALING JAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengakui rakyat adalah segala-galanya buat masa ini dan sanggup turun padang demi memenuhi kemahuan mereka.

“Sejak saya memerintah, ekonomi Malaysia pada harini dilihat semakin kuat. Nilai kewangan kita pun semakin teguh, tetapi kita tidak angkuh demi rakyat.

“Walaupun kini Kedah dilanda banjir teruk, saya tetap sanggup turun demi membantu rakyat,” katanya sewaktu Himpunan Keadilan Suara Rakyat Suara Keramat di Axiata Arena, pada Jumaat malam.

Tambahnya, rakyat kini menjadi fokus utamanya pada hari ini dan segala kemahuan rakyat akan diusulkan ke dalam parlimen serta merta.

“Segala kemahuan rakyat, akan saya usulkan kepada parlimen dan saya turut mengambil berat terhadap pelbagai isu berkaitan projek rakyat.

“Kalau benda itu lambat pun, saya sanggup usulkan isu-isu rakyat dalam parlimen pertengahan bulan Oktober ini,” jelasnya.

Jelasnya, belanjawan juga akan turut diselesaikan tahun ini bagi menyelesaikan kos sara hidup rakyat yang dilihat tinggi tahun ini.

“Semiskin mana pun saya tetap akan bagi kepada rakyat. Itulah hukum pertama reformasi ini dibuat,” ujarnya.

Untuk rekod, himpunan tersebut diadakan bagi memperingati hari dimana Anwar ditangkap selepas mengadakan demonstrasi di Masjid Negara, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Beliau ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.

Anda Mungkin Berminat