Pemandu teksi ambil risiko sebar maklumat reformasi

Oleh: Shafira Aziiz

BUKIT JALIL: Pemandu teksi berada di barisan hadapan dalam memahami denyut nadi rakyat dan sejak 1998, gerakan reformasi yang dipelopori Datuk Seri Anwar Ibrahim menguatkan semangat juang mereka.

Pemandu teksi, Kamarudin Hussain menceritakan kisahnya dalam memperjuangkan agenda reformasi negara suatu ketika dahulu yang turut menjadi penyebar maklumat, berkongsi cerita serta aspirasi rakyat yang inginkan perubahan.

“Kami hanyalah pemandu teksi, tapi apa yang terjadi kepada Anwar benar-benar membakar semangat juang kami untuk bersama dalam gerakan reformasi.

“Ada kalanya ketika orang ramai berhimpun di Kuala Lumpur, kami mengambil risiko sengaja memperlahankan kenderaan dan berhentikan teksi kami di jalan raya bagi melengahkan penguatkuasa mengambil tindakan terhadap orang yang berhimpun,” katanya.

Kamarudin berkata demikian dalam ucapannya menerusi segmen Suara Rakyat dari sudut pemandu teksi dalam Himpunan Keadilan: Suara Rakyat, Suara Keramat di Axiata Arena malam tadi.

Dia turut memaklumkan ada rakan pemandu teksi sepertinya sehingga kini telah ditarik lesen untuk memandu teksi hanya kerana terlibat dalam perjuangan tersebut.

Namun, perjuangan mereka tetap diteruskan hingga Kamarudin merasakan bahawa mereka telah menjadi agen radio rasmi dalam menyampaikan agenda reformasi kepada orang awam.

“Pada masa itu, tiada media sosial dan telefon. Maka, kamilah yang menjadi radio rasmi gerakan reformasi tersebut.

“Kami mengedarkan risalah-risalah perjuangan dan memasang kaset ceramah-ceramah oleh Anwar serta kami juga memainkan peranan berkempen kepada orang ramai yang menggunakan perkhidmatan kami supaya mereka bersama di dalam gerakan reformasi,” tegasnya.

Himpunan tersebut turut dihadiri oleh Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fuziah Salleh; Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil serta ramai lagi figura terkenal yang turut menyambut perjuangan reformasi ini.

Untuk rekod, himpunan tersebut diadakan bagi memperingati hari dimana Anwar ditangkap selepas mengadakan demonstrasi di Masjid Negara, Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

Beliau ditahan di kediamannya di Bukit Damansara dan dipukul di lokap polis, yang menjadi pencetus gelombang kebangkitan rakyat menuju Pilihan Raya Umum 1999.