Liverpool ‘gayat’ berada di tangga teratas Liga Perdana Inggeris

LIVERPOOL melonjak ke tangga teratas Liga Perdana Inggeris selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Bournemouth lewat malam tadi, manakala Manchester United hanya seri 0-0 dengan Crystal Palace awal pagi tadi.

Nicolas Jackson meledak dua gol membantu Chelsea menang selesa 3-0 di West Ham, manakala Aston Villa menundukkan Wolves 3-1.

Luis Diaz yang direhatkan ketika Liverpool memulakan kempen Liga Juara-Juara pada pertengahan minggu kembali dalam kesebelasan utama ketika aksi menentang Bournemouth.

Pemain dari Colombia itu meledak dua kali dalam tempoh dua minit pada minit ke-26 dan 28.

Diaz menghukum kesilapan Kepa Arrizabalaga untuk menyambut hantaran jauh daripada Ibrahima Konate dan mengatasi penjaga gol Sepanyol itu sebelum merembat ke pintu gol.

Trent Alexander-Arnold kemudian mengumpan kepada Diaz untuk menyumbat gol kedua.

Darwin Nunez melengkapkan kemenangan bergaya Liverpool apabila melencongkan bola cantik ke penjuru gol pada minit ke-37.

Kemenangan ini meletakkan Liverpool di depan Manchester City dan Aston Villa yang turut mengumpul 12 mata.