Tun Musa Hitam dilantik Menteri Darjah

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim telah memperkenan melantik Tun Musa Hitam sebagai Menteri Darjah (Chancellor) yang baharu bagi Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia.

Menurut kenyataan Pejabat Perdana Menteri (PMO), pelantikan Tun Musa Hitam adalah untuk tempoh tiga tahun mulai 13 September 2024 hingga 12 September 2027.

“Pelantikan ini selari dengan keperluan yang dinyatakan di dalam Statut Darjah Yang Mulia Setia Mahkota Malaysia bagi memastikan urusan menandatangani watikah-watikah kurniaan Darjah Yang Mulia Setia Mahkota di bawah Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan berjalan lancar,” menurut kenyataan itu pada Rabu.

Untuk makluman, jawatan Menteri Darjah ini bukan berstatus menteri.

Setiap darjah kebesaran, pingat dan bintang ada watikah. Setiap watikah perlu ditandatangani oleh dua pihak, iaitu Pendaftar Darjah, Menteri Darjah sebelum ditandatangani oleh YDPA.

Tugas Menteri Darjah hanya tandatangan watikah untuk memastikan ketulenan watikah yang dikeluarkan.