PETALING JAYA: Ringgit Malaysia kembali susut kepada 4.13 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) semalam, berikutan pengambilan keuntungan berlebihan yang dibuat oleh pihak pelabur.
Menurut laporan Sinar Harian, pengambilan keuntungan ini berlaku selepas peningkatan nilai ringgit yang ketara berlaku, baru-baru ini.
“Akibat daripada perkara tersebut, ringgit kini diniagakan pada 4.1305/1375 berbanding dolar AS selepas meningkat kepada 4.1275/1310 pada hari semalam,” katanya.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, mata wang tempatan telah dibeli secara berlebihan dan pelabur turut membuat pemantauan terhadap perkembangan ekonomi China.
“Negara tersebut, turut menjadi tumpuan berikutan pihak berkuasa monetorinya telah memperkenalkan langkah untuk mengurangkan kos pinjaman, menambah kecairan dan menggiatkan semula pasaran perumahan.
“Walaupun masih belum dilihat sejauh mana keberkesanannya, skala besar pelaksanaannya itu telah mencerminkan kesediaan dan keazaman pihak berkuasa untuk memulihkan pertumbuhan kepada paras lima peratus,” ujarnya.
Namun begitu, beliau turut menjelaskan bahawa, kaedah ini sememangnya akan memberi Impak positif kepada ringgit kerana China kini merupakan rakan dagangan utama Malaysia.
Walaupun ringgit dikatakan jatuh, tetapi ia masih mencatatkan prestasi yang baik berbanding sekumpulan mata wang utama.
“Pada Rabu, ringgit mengukuh berbanding yen Jepun kepada 2.8573/8625, naik berbanding pound kepada 5.5022/5116, dan menguat terhadap euro kepada 4.5985/6063.
“Di peringkat ASEAN, ringgit dilihat naik berbanding dolar Singapura kepada 3.2039/2096 dan baht Thailand kepada 12.6045/6340, tetapi merosot terhadap peso Filipina kepada 7.39/7.41 dan dibuka rendah berbanding rupiah Indonesia pada 273.5/274.0,” jelasnya.