Oleh: Haikal Tajuddin
PETALING JAYA: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, hampir 80,000 peluang pekerjaan baharu sudah pun dibuka, sejajar dengan Belanjawan 2024.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, kini terdapat pekerjaan baharu seperti sesi padanan kerja, kaunseling kerjaya dan perkhidmatan lain yang telah ditawarkan di bawah MYFutureJobs.
“Melalui portal MYFutureJobs, pekerjaan-pekerjaan itu sememangnya akan ditawarkan dan saya berharap peluang ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada semua masyarakat terutama di Kluang,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di Facebook, hari ini.
Beliau sebelum itu merasmikan Karnival Gegar Jejak Kerjaya MYFutureJobs Orang Mahkota 2024, turut berkata, Kerajaan Persekutuan kini memiliki inisiatif yang bertujuan untuk memperluaskan peluang kerjaya khususnya golongan muda di Kluang.
“Kerjasama ini dibantu oleh kerajaan negeri, Pertubuhan Keselamatan Pekerja dan Sosial (PERKESO), Hal Ehwal Wanita dan Keluarga (HAWA) Malaysia dan sektor swasta yang berperanan dalam memperkembangkan pekerjaan rakyat, khususnya golongan muda di Kluang,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut berkata, kerajaan turut memperkenalkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sebanyak 472,417 dalam Perlindungan Bencana Domestik dan Perlindungan Kesihatan.
“Saya gembira melihat sokongan yang diberikan oleh HAWA Malaysia dalam memperluaskan capaian skim ini melalui program-program yang dianjurkan seperti karnival pada hari ini.
“Semoga, usaha seperti ini dapat diteruskan agar kita dapat memperkasakan lagi ekonomi, meningkatkan kebolehpasaran rakyat dan mengurangkan kadar pengangguran khususnya di negeri Johor,” ujarnya.