Perbicaraan kes menghasut Sanusi ditangguh 25 Oktober

Oleh: Hanim Nadia

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi hari ini menangguhkan kes melibatkan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa menghasut isu pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik.

Hakim, Datuk Aslam Zainuddin berkata demikian susulan permohonan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob yang memaklumkan representasi masih dalam pertimbangan Jabatan Peguam Negara (AGC).

Untuk rekod, ini merupakan representasi kedua Muhammad Sanusi selepas permohonan pertamanya ditolak AGC pada Mei lalu.

Pihak pembelaan juga meminta kes ditangguhkan selama sebulan untuk kedua-dua pertuduhan yang dihadapi Muhammad Sanusi.

Mahkamah kemudian menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan semula kes dan Muhammad Sanusi diwajibkan menghadiri prosiding pada hari tersebut.

Sebelum itu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi memberitahu mahkamah bahawa anak guamnya sudah menulis warkah untuk memohon ampun daripada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Saya menerima arahan untuk mohon pertuduhan ditarik balik dan pihak pembelaan tidak bantah penangguh kes ini untuk sebulan.

“Sudah diketahui umum, Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor sudah beri keampunan atau kemaafan kepada anak guam kami,” katanya ketika prosiding tersebut.

Perkara itu turut disahkan Peguam Pemerhati bagi Istana Selangor, Datuk Salehuddin Saidin bahawa pihak istana ada mengeluarkan jawapan bertulis penerimaan permohonan maaf dalam kes Muhammad Sanusi.

Pada Khamis, Sultan Selangor menitahkan baginda berkenan menerima permohonan ampun dan maaf Muhammad Sanusi sambil menasihatkan beliau agar sentiasa menjaga tutur kata dan tatasusila.

Dalam surat titah dimuat naik di laman Facebook (FB) Selangor Royal Office, baginda antara lain menegaskan, permohonan maaf Muhammad Sanusi diterima atas nama ukhwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pengampunan tersebut diberikan selepas Muhammad Sanusi mengemukakan warkah kedua, menyusuli permohonan maaf dibuat beliau pada 14 Julai tahun lalu berkait ceramahnya yang menyentuh pihak istana dan proses pelantikan Menteri Besar Selangor.

Pada 17 Julai 2023, Muhammad Sanusi didakwa atas dua pertuduhan menghasut berhubung pelantikan Menteri Besar Selangor dan penubuhan Kerajaan Perpaduan dalam satu ceramah politik di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Kemudian, pada 18 Julai 2023, Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari 2024 untuk dibicarakan.

Sanusi yang juga Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN) didakwa atas dua pertuduhan menyebut perkataan menghasut menyentuh Sultan Selangor dan Yang di-Pertuan Agong, di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada jam 11 malam, 11 Julai tahun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Anda Mungkin Berminat