Israel Dakwa Ketua Hizbullah Terbunuh Di Beirut

TENTERA Israel mendakwa telah membunuh Ketua Hizbullah, Hassan Nasrallah dalam satu serangan udara di Beirut, Lubnan pada Jumaat.

Dakwaan terbaharu itu dibuat oleh jurucakap tentera rejim zionis itu, Avichay Adraee yang dimuat naik di laman X sehari selepas serangan Israel di pinggir selatan Beirut.

Avichay dalam kenyataan tersebut berkata, tentera Israel “telah menyingkirkan” pemimpin Hizbullah itu.

Lapor CNN, bagaimanapun setakat ini Hizbullah masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi mengenai status Hassan.

Hassan yang berusia 64 tahun telah mengetuai kumpulan itu selama 32 tahun.

Sejak beberapa hari lalu, fokus operasi ketenteraan di Gaza telah beralih ke Lubnan di mana kempen pengeboman tanpa henti telah meragut lebih 700 nyawa manakala kira-kira 118,000 hilang tempat tinggal.

IDF mendakwa siri serangan menggila itu kononnya menyasarkan kemudahan simpanan senjata milik Hizbullah yang terletak di bawah bangunan kediaman orang awam yang merupakan alasan sama seperti ia membedil hospital di Gaza yang didakwa menjadi markas Hamas.

Anda Mungkin Berminat