Oleh: Hanim Nadia
PETALING JAYA: Premis makanan jenama Uncle Roger yang baru beroperasi didapati belum layak memohon Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan.
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) berkata, ini kerana antara syarat dan kriteria permohonan SPHM dalam Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (MPPHM) 2020, syarikat hendaklah beroperasi sepenuhnya sekurang-kurangnya tiga (3) bulan sebelum membuat permohonan.
Untuk rekod, restoran Uncle Roger baru dibuka pada 11 September 2024 di Pavilion Bukit Bintang, Kuala Lumpur.
Dalam pada itu, JAKIM tampil menjelaskan perkara ini susulan satu artikel yang ditulis portal hiburan tempatan mengenai status pengurusan permohonan halal oleh Uncle Roger atau nama sebenarnya Nigel Ng .
Menurut penulisan tersebut, seorang pempengaruh makanan telah menggesa JAKIM memberi tanda halal kepada restoran Uncle Roger dengan ungkapan, “JAKIM cepat sikit, kenapa lama sangat?”, yang disifatkan provokatif.
“(Ungkapan) itu mengundang salah faham orang ramai berkenaan tempoh permohonan SPHM dan memberi implikasi negatif terhadap imej Jabatan ini sebagai pihak berkuasa berwibawa pensijilan halal Malaysia.
“Sehubungan itu, JAKIM menggesa pihak yang bertanggungjawab menghasilkan kandungan video tersebut supaya membetulkan semula kenyataan yang dikeluarkan sebelum ini.
“Jabatan ini sentiasa terbuka dan mengalu-alukan pihak syarikat untuk hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai permohonan SPHM,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.