Akmal Saleh, waspadalah – AMK Johor

Oleh: Kamilia Ali

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor menyelar tindakan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh yang menimbulkan keraguan dan cuba memecahbelahkan hubungan antara parti Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Ketua AMK Johor, Mohamad Taufiq Ismail berkata Akmal perlu berhati-hati dan bertanggungjawab dalam setiap kenyataan yang dikeluarkan, terutamanya apabila melibatkan prinsip Kerajaan Perpaduan yang giat diperkukuhkan.

“Sikap sombong dan angkuh dalam menyuarakan pendapat tanpa mengambil kira kesan terhadap keharmonian politik negara boleh mengundang pelbagai masalah.

“Perkara berkenaan boleh mencetuskan ketegangan antara parti-parti komponen yang berusaha membina persefahaman bersama,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Taufiq berkata, tindakan sedemikian bukan sahaja melemahkan momentum perpaduan yang sudah mula terbentuk, tetapi juga boleh menjejaskan kepercayaan rakyat terhadap usaha untuk mengekalkan kestabilan politik dan kemajuan negara.

“Oleh itu, adalah penting bagi semua pihak, termasuk Akmal Saleh, untuk lebih berwaspada dan memastikan setiap kenyataan yang dibuat seiring dengan usaha memupuk perpaduan yang lebih erat demi kebaikan bersama,” jelasnya.

AMK Johor mengingatkan bahawa Kerajaan Perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah hasil konsensus bersama untuk memastikan kestabilan politik negara.

Pada 29 September, Akmal membuat satu kenyataan berkenaan tiada keperluan untuk membentuk Kerajaan Perpaduan di Johor.