FAM: VAR Malaysia cemerlang, ikut standard FIFA

Oleh: Hanim Nadia

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) memuji pengendalian Video Bantuan Pengadil (VAR) serta prestasi pengadil dalam 80 perlawanan bagi musim 2024/2025 adalah sangat cemerlang.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundaram berkata, pelaksanaan program pembangunan pengadil dan operasi Video Bantuan Pengadil (VAR) di Liga Malaysia (Liga M) adalah berasaskan kepada standard operasi serta protokol VAR yang diiktiraf oleh FIFA.

“Purata ‘On-field Review’ (OFR) adalah 0.57 ‘per match’ dan jumlah masa tambahan yang diguna untuk ‘VAR Review’ adalah 2.27m ‘per match’.

“Mengikut garis panduan AFC, bilangan OFR dan masa tambahan ‘VAR Review’ di liga kita berada pada paras terendah. Ini bermakna penggunaan VAR di Liga Malaysia pada ketika ini berada pada landasan yang terbaik sepertimana standard operasi VAR yang ditetapkan oleh FIFA,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Dalam pada itu, FAM dan MFL juga akan memulakan latihan VAR ‘Batch ke-2’ bermula Oktober 2024 dan dijangka akan tamat pada Februari 2025 dan barisan pengadil VAR fasa kedua itu terdiri daripada pengadil dan penolong pengadil yang muda dan berpotensi.

“Seramai 21 Pengadil akan dilatih sebagai pengadil VAR, 21 Penolong Pengadil sebagai ‘Assistant Video Assistant Referee’ (AVAR) dan 12 orang dilatih sebagai ‘Replay Operator’ (RO).

“Pada kali ini seramai tiga pengadil wanita akan turut dipanggil menyertai latihan ini iaitu Cik Nurul Ain Izzatty Binti Zainal sebagai Pengadil VAR, Cik Nur Akmal Binti Anuar dan Cik Munirah Ha Ali sebagai pengadil AVAR. Ketiga-tiga mereka ini diiktiraf sebagai ‘AFC Women Elite Referee’,” tambahnya.

Sementara itu, Sivasundaram turut merakamkan ucapan tahniah kepada pengadil negara Muhammad Nazmi Nasaruddin atas pretasi cemerlangnya dalam mengadili perlawanan bola sepak tempatan dan antarabangsa.

Katanya, kecemerlangan Nazmi mengadili perlawanan dengan tegas dan adil mendapat pujian daripada negara jiran yang sekali gus menjadi kebangsaan buat FAM dan seluruh rakyat Malaysia.

Selain Nazmi, AFC juga telah melantik Razlan Joffri Ali dan Tuan Mohd Yassin Tuan Mohd Hanafiah untuk mengadili perlawanan-perlawanan AFC Champions League Two (ACL2) and juga Piala Shopee (Kejuaraan Kelab ASEAN).