Ulasan | Terpaling Islam, Melayu dan liberal, mereka tidak ramai sebenarnya

Oleh: Liyana Marzuki

Kita masyarakat dengan pemikiran binari. Hitam atau Putih. Kosong atau satu. Me or you.

Mentaliti kebanyakan orang kita. Kalau anda tak bersama saya, confirm anda bersama musuh saya. Saya perlu bantai anda juga sama dengan mereka.

Dalam politik, ada set kiri dan set kanan. Dan selalunya yang timbulkan masalah, ialah antara Terpaling Kiri dan Terpaling Kanan.

Siapa mereka ini? Ini yang saya faham mengenai mereka.

Terpaling Kanan Set Pejuang Terpaling Melayu, agenda mereka ada yang ekstrem, kalau boleh nak usir “pendatang”. Percaya kekayaan negara dirampas orang. Pantang orang lain salah cakap membela kaum minoriti, itu akan dibuat modal. Perang mulut yang berterusan. Dan jadi racun untuk penduduk majoriti teruskan agenda pembencian.

Set Pejuang Terpaling Islam, agenda mereka mahukan negara Islam Fundamentalis, seperti Iran dan Afghanistan. Hukum hudud, undang-undang agama, pada mereka perlu terpakai kepada semua. Tak kira kaum dan agama apa. Yang lain perlu hormat kita. Sangat benci kepada penjajah, Perlembagaan dan undang-undang selain dari apa yang mereka nak, perlu ditolak mentah-mentah.

Terpaling Kiri pula ialah – Set Terpaling Pejuang Kaum – Mereka menolak mana-mana dasar afirmatif, tak perlu perlindungan kepada sesiapa. Hanya meritokrasi semata-mata. Keadilan sosial pada mereka, yang kuat perlu kuat, yang lemah itu biarkan. Memandang tadbir negara ini hanya dalam bentuk kemajuan. Harmoni antara kaum majoriti dan minoriti mereka abaikan. Kurang gemar kepada kaum majoriti, pada mereka, minoriti ditindas sentiasa.

Set yang liberal dan sekular – Mereka menolak agama dalam pentadiran. Antara agenda yang dibawa ialah nak benarkan murtad, LGBT (Lesbian, gay, biseksual dan transeksual) dan perkahwinan rentas agama. Mereka paling benci pada penguasa agama. Pada mereka beragama itu hak individu, perlu bebas apa yang nak buat dalam negara. Set jenis ini juga dibenci oleh Geng Terpaling Kanan.

Itu dia jenis dan set Terpaling yang ada.

Mereka hanya minoriti

Namun saya percaya, set TERPALING atau ekstrem ini hanya minoriti. Masalahnya mereka yang paling bising.

Saya percaya MAJORITI SENYAP kebanyakkannya CENTRIST (tengah-tengah)

Geng Centrist ini, mahu kekalkan Perlembagaan Negara, sedar Malaysia ini berbilang bangsa. Kita nak hidup harmoni sama-sama.

Mereka sedar yang lemah harus dibantu. Tak kira sesiapa pun. Dasar keadilan sosial perlu diimbangi dengan kesaksamaan. Not just equality, but also equity.

Merit secara total tidak boleh. Dasar Afirmatif tapi menguntungkan golongan kroni dan elit pun ditolak. Mereka nak ditengah-tengah. Tolong semua yang susah.

Dari segi pentadbiran agama, mereka tolak fahaman sekular dan liberal, tapi tak semestinya mereka nak Malaysia jadi Afghanistan pula.

Mereka tolak undang-undang membolehkan murtad, LGBT dan kahwin rentas agama. Tapi pada masa yang sama, mereka rasa hukum hudud tak sesuai untuk Malaysia, negara berbilang bangsa. Sedar dan tahu Melayu Islam hanya 58 peratus.

Itu pemikiran si Centrist. Mereka kalau boleh nak kekalkan apa yang ada. Tambah baikkan saja.

I’m proud to say I am a centrist. Bukan masuk golongan liberal atau sekular. Atau geng terpaling berbangsa dan beragama.

Saya dari kecil diajar konsep wasatiyah. Bersederhana dalam pemikiran dan perwatakan. Duduk di tengah. Supaya kita boleh menilai kedua-dua belah, tanpa pajakkan otak.

Saya percaya ramai pembaca di sini pun begitu juga. Kita tolak mereka yang ekstrem. Kita nak Malaysia yang moderate dan progresif. Negara yang bersederhana dalam banyak benda.

Isunya menjadi si centrist ini. Kita akan disalah ertikan. Sebab otak binari tadi. If you’re not with me, you’re against me. Makanya bila kita tak setuju suatu perkara, mereka rangkum kan kita dengan musuh mereka.

Selama ini si centris banyaknya diam. About time, set-set terpaling kanan dan kiri tahu kewujudan kita. Negara ini bukan mereka punya sahaja. Kita pun boleh bersuara.

***Penulis adalah aktivis politik dan sentiasa berkongsi pandangannya mengenai politik di media sosial

Anda Mungkin Berminat