108 Individu Disyaki Ahli GISBH Ditahan – JAIS

Oleh: Hanim Nadia

PETALING JAYA: Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) telah menahan 108 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan GISB Holdings (GISBH) disyaki terbabit dengan pelbagai kesalahan jenayah syariah merangkumi soal akidah, pungutan khairat tanpa kebenaran dan perkahwinan.

Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, operasi tangkapan itu dijangka berterusan membabitkan suspek yang disyaki dan sudah dikenalpasti berdasarkan risikan, aduan dan maklumat diterima pihaknya.

“Sehingga kini hasil siasatan terhadap 108 suspek, JAIS mendapati wujud beberapa fakta mengenai amalan dan kepercayaan suspek yang bercanggah dengan fatwa dikuatkuasakan.

“Ini termasuk amalan mempercayai beberapa perkara dikaitkan dengan pimpinan adalah sesuatu yang memberikan keberkatan kepada ahli dan membolehkan ahli masuk syurga.

“Begitu juga mengamalkan Aurad Muhammadiah, percaya Abuya tidak mati dan berada di alam ghaib. Mayat Abuya terapung kerana Allah angkat Abuya, Rasulullah SAW atau Abuya hadir dalam majlis-majlis tertentu anjuran kumpulan.

“Siasatan juga mendapati perkahwinan dan perceraian diatur oleh pemimpin kumpulan dan menjalankan akad perkahwinan dengan cara ditentukan oleh pemimpin,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Shahzihan berkata, siasatan juga menunjukkan perkahwinan itu tidak dapat dibuktikan dengan keterangan dokumen yang sah.

Malah katanya, perkahwinan antara anak dara dan teruna tanpa kebenaran Pendaftar Perkahwinan, Cerai dan Rujuk Orang Islam Negeri Selangor serta poligami yang dibuat tanpa kebenaran Mahkamah Syariah yang berbidang kuasa.

“Situasi dan keadaan ini menyebabkan berlaku kecelaruan dalam penentuan nasab, status perkahwinan serta dokumentasi perkahwinan ibu bapa kanak-kanak (mangsa).

“Perkara ini dijangka memberi kesan terhadap kanak-kanak yang diselamatkan sebelum ini apabila mereka menginjak ke alam remaja dan dewasa kelak.

“Tidak mustahil keadaan ini berpotensi besar akan menjejaskan penentuan nasab dan memungkinkan berlakunya pernikahan yang fasid atau wati’ syubhah,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shahzihan berkata, JAIS sedang bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta agensi berkepentingan lain untuk mengenal pasti salasilah sebahagian besar dari 435 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global sebelum ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat