PETALING JAYA: Kementerian Pertahanan Malaysia hari ini mengesahkan bahawa pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 yang sedang bertugas di Selatan Lubnan berada dalam keadaan selamat.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin memaklumkan bahawa tidak ada sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan aset dilaporkan di kalangan anggota pasukan tersebut.
Beliau turut menjelaskan, semua pasukan di bawah Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL), termasuk MALBATT 850-11, telah diarahkan untuk menghentikan sebarang operasi rondaan atau pergerakan logistik buat sementara waktu.
“Semua anggota diarahkan kekal di penempatan masing-masing sebagai langkah keselamatan berikutan situasi semasa di Selatan Lubnan.
“Bagi memastikan keselamatan maksimum, Markas UNIFIL turut mengaktifkan prosedur “bunker drill” sebagai langkah persiapan menghadapi sebarang kemungkinan.
“Latihan ini bertujuan untuk melindungi anggota di dalam kubu sebagai langkah pencegahan,” katanya.
Dalam pada itu, perancangan penukaran balik pegawai dan anggota pasukan MALBATT 850-11 ke Malaysia dijangka berjalan seperti yang telah dijadualkan.
Pihak UNIFIL akan terus memantau perkembangan situasi bagi memastikan keselamatan anggota pasukan yang bertugas.
Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga memberi jaminan bahawa mereka akan terus memantau keadaan keselamatan di Selatan Lubnan dan akan memastikan keselamatan semua anggota MALBATT 850-11 yang terlibat dalam misi tersebut.