Pelaburan Oracle perkukuh kedudukan Malaysia sebagai hub teknologi serantau – PM


Oleh: Shafira Aziz

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyambut baik pengumuman syarikat teknologi gergasi, Oracle, yang bakal membuka pusat awan awam pertama di Malaysia dengan pelaburan bernilai AS$6.5 bilion (RM27 bilion).

Langkah tersebut dianggap sebagai satu manifestasi terhadap keyakinan syarikat-syarikat dunia terhadap potensi Malaysia sebagai hub infrastruktur awan serta penyokong kepada pertumbuhan ekosistem kecerdasan buatan (AI) di rantau ini.

Dalam satu kenyataan di Facebook, Anwar menegaskan bahawa kejayaan menarik pelaburan daripada syarikat besar seperti Oracle adalah hasil kejelasan dasar dan pendekatan strategik Kerajaan Madani.

Beliau turut menekankan bahawa pelaburan tersebut menyusul selepas pelaburan daripada syarikat teknologi lain termasuk Amazon Web Services, Microsoft,dan Google, dengan jumlah keseluruhan kini mencecah AS$16.9 bilion (RM70.3 bilion).

“Kejelasan dasar dan pendekatan kerjasama strategik yang dilaksanakan Kerajaan Madani telah berjaya menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama dunia,” katanya.

Anwar Ibrahim

Bagi Anwar, penting untuk tenaga kerja dan syarikat tempatan merebut peluang yang timbul daripada pelaburan-pelaburan besar itu.

Dalam beberapa perbincangan dengan pengurusan tertinggi syarikat-syarikat tersebut, beliau menegaskan tentang manfaat jangka panjang kepada negara, termasuk pembangunan pusat kecemerlangan, fakulti AI dan pemerkasaan masyarakat tempatan.

“Saya yakin dengan sokongan semua pihak, matlamat dan sasaran Ekonomi Madani akan dapat dicapai, Insya-Allah,” tambahnya.

Sebelum ini, Oracle pada Rabu telah mengumumkan pelaburan lebih US$6.5 bilion (RM27 bilion) bagi mewujudkan wilayah awan awam di Malaysia.

Wilayah awan yang akan diwujudkan itu membolehkan pelanggan dan rakan kongsinya di Malaysia memanfaatkan infrastruktur dan perkhidmatan AI dan memindahkan beban kerja yang penting kepada “Oracle Cloud Infrastructure” (OCI).

Anda Mungkin Berminat