Juruteknik maut jatuh lereng Gunung Machincang bukan pekerja kereta kabel

Oleh: Hanim Nadia

ALOR SETAR: Syarikat operator kereta kabel Langkawi iaitu Panorama Langkawi Sdn Bhd (PLSB) menjelaskan juruteknik yang terjatuh dari besi penahan platform kaca pada ketinggian 40 meter di lereng Gunung Machincang pada Khamis bukan pekerja atau kontraktor syarikat itu.

PLSB berkata, laporan media menyatakan bahawa individu tersebut sebagai pekerja kereta kabel yang terjatuh daripada kereta kabel adalah tidak benar.

“PLSB yang merupakan operator kereta kabel Langkawi atau Langkawi SkyCab, menjelaskan perkhidmatannya beroperasi seperti biasa pada hari kejadian dan tiada kerja-kerja penyelenggaraan dijadualkan pada waktu tersebut.

“Selain itu ingin ditegaskan bahawa setiap kerja-kerja penyelenggaraan di Langkawi SkyCab mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan.

“Sebagai contoh sekiranya kerja-kerja perlu dilakukan di tempat tinggi, kakitangan perlu mendapat latihan dan mempunyai sijil bekerja di tempat tinggi beserta dengan peralatan perlindungan diri (PPE) yang lengkap,” kata syarikat itu dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Dalam pada itu, PLSB berkata pihaknya turut bersimpati dengan kejadian tersebut.

Pada Khamis, seorang juruteknik maut selepas terjatuh dari ketinggian kira-kira 40 meter di lereng Gunung Machinchang di Langkawi dalam kejadian kira-kira 12.15 tengah hari.

Mangsa, Khairul Nizam Jaafar, 41, dilaporkan terjatuh ketika berada di besi penahan dek kaca di sebuah tarikan pelancongan lain yang dikendalikan oleh sebuah syarikat lain.

Mayat mangsa ditemui Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kedah pada jam 5.11 petang hari sama.

Lapor media tempatan, kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Anda Mungkin Berminat