Banjir: Selangor gerakkan SERVE bantu mangsa terjejas

PETALING JAYA: Kerajaan Negeri Selangor akan menggerakkan pasukan Sukarelawan Selangor (SERVE) bagi menghulurkan bantuan dan tenaga kerja di kawasan bencana banjir.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri akan sentiasa memelihara kebajikan mangsa bencana banjir dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri akan menggerakkan pasukan Sukarelawan Selangor untuk kerja-kerja pembersihan pasca banjir, pemunggahan barang-barang rosak dan membantu mangsa yang terjejas.

“Pihak Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI) turut telah menyerahkan bantuan asas kecemasan seperti keperluan harian,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Terdahulu, Amirudin dan isteri melawat mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Bukit Badong, Bestari Jaya, malam tadi yang menempatkan seramai 63 orang yang kebanyakannya adalah dari pusat penjagaan warga emas yang terletak di Ijok.

Beliau kemudian ke PPS SK Desa Aman, Desa Coalfields yang menempatkan seramai 600 orang mangsa.

“Jumlah ini mewakili separuh daripada jumlah keseluruhan mangsa banjir di negeri Selangor ketika ini.

“Insya-Allah, jika cuaca mengizinkan, keluarga-keluarga di PPS SK Desa Aman ini boleh pulang ke rumah masing-masing pada hari ini setelah tiga hari meninggalkan rumah mereka,” ujarnya.