Belanjawan 2025: Kerajaan pastikan industri sawit terus diperkasa – PM

IPOH: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Sesi Libat Urus Belanjawan 2025 bersama pemain industri sawit di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbincangan dengan penggiat industri itu bagi mendapatkan input-input untuk diangkat kepada Kementerian Kewangan menjelang pembentangan Belanjawan 2025.

“Menjelang pembentangan Belanjawan 2025 pada 18 Oktober, Kerajaan MADANI meneruskan siri libat urus bagi mendengar pandangan setiap segmen masyarakat termasuk pemain industri di negara ini.

“Dalam sesi libat urus, beberapa perkara disentuh dan diberi perhatian antaranya melibatkan isu berkaitan tenaga kerja asing, kadar pengeluaran sawit yang rendah dan usaha meningkatkan aktiviti hiliran berkaitan sawit dalam usaha memastikan kelangsungan industri sawit negara,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Turut hadir ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar serta pegawai-pegawai kerajaan.

Terdahulu, Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengemukakan dua cadangan kepada Kementerian Kewangan (MOF) untuk dimasukkan ke dalam Belanjawan 2025 bagi memperkasakan industri sawit.

Cadangan berkenaan adalah semakan semula levi keuntungan luar biasa (WPL) ke atas minyak sawit dan peruntukan tambahan bagi tujuan penanaman semula komoditi tersebut.

Anda Mungkin Berminat