Oleh: Hanim Nadia
GENAP setahun Gaza dibedil, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menekankan masyarakat antarabangsa untuk terus memberi tumpuan sambil menyatakan solidariti kepada mangsa dan keluarga mereka.
Gutteres dalam satu mesej video berkata, perang Israel ke atas Gaza sejak setahun lalu, terus memusnahkan kehidupan rakyat Palestin dan menyebabkan penderitaan kemanusiaan yang dahsyat.
Beliau turut berkata, bahawa rakyat Lubnan turut menderita akibat perang ini, sambil menekankan keperluan mendesak untuk menghentikan pertempuran dan mengakhiri penderitaan yang melanda rantau terbabit.
“Sudah tiba masanya untuk membebaskan tawanan. Sudah tiba masanya untuk menghentikan pertempuran. Sudah tiba masanya untuk menghentikan penderitaan yang melanda rantau ini.
“Sekarang adalah masanya untuk keamanan, undang-undang antarabangsa dan keadilan,” katanya.
Guterres turut menekankan kepentingan untuk terus berusaha mencapai penyelesaian kekal terhadap konflik ini, yang membolehkan Palestin, Israel, dan semua negara lain di rantau ini hidup dalam keadaan aman, bermaruah dan saling menghormati.